Swift Energy raih 6 kontrak RM59 juta bekal peralatan elektrik pusat data di Malaysia dan Thailand

LocalBusiness & Finance
12 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Swift Energy raih 6 kontrak RM59 juta bekal peralatan elektrik pusat data di Malaysia dan Thailand Image from: Swift Energy raih 6 kontrak RM59 juta bekal peralatan elektrik pusat data di Malaysia dan Thailand amree12/10/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt — Swift Energy Technology Berhad memperoleh enam kontrak berjumlah RM59.07 juta, meliputi pembekalan peralatan elektrik untuk projek pusat data (DC) di Malaysia dan Thailand serta projek pencawang loji pemampatan gas di Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, kesemua kontrak baharu berkenaan diperoleh menerusi anak-anak syarikatnya, sekali gus dijangka menyumbang positif kepada prestasi kewangan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja.

 

Jelasnya, antara kontrak utama yang diterima ialah penyediaan kejuruteraan dan pembekalan peralatan pencawang berkapasiti 11kV bagi projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk sebuah loji pemampatan gas terletak di Johor.

 

"Projek itu dilaksanakan oleh Swift Energy Sdn Bhd bersama Azimuth Energy Sdn Bhd menerusi sebuah entiti usaha sama (UJV) tidak diperbadankan, dengan tempoh pelaksanaan dijangka dalam masa 21 bulan selepas penerimaan surat anugerah," kata kumpulan itu.

 

Bagaimanapun tambahnya, identiti sebenar pelanggan bagi projek pencawang berkenaan tidak dapat didedahkan buat masa ini susulan perjanjian kerahsiaan yang dimeterai, manakala bahagian kerja setiap pihak dalam JV itu masih belum lagi dimuktamadkan.

 

Bagi segmen DC di Malaysia, Swift Energy Sdn Bhd menerima tempahan daripada Cummins Sales and Service Sdn Bhd untuk membekalkan 17 set perintang pembumian neutral Cressall 11kV, dengan penghantaran dijangka dapat selesai menjelang Mac depan.

 

Swift Energy_DagangNews2026

 

Syarikat berkenaan ujar Swift Energy, turut memperoleh kontrak daripada SECM Sdn Bhd bagi membekalkan panel pemasangan elektrik voltan rendah (MEP LV fit-out) untuk projek DC, dengan penghantaran disasarkan menjelang suku pertama 2027.

 

"Selain itu, RoviSys Asia Sdn Bhd melantik kumpulan ini untuk membekalkan panel sistem pengurusan bangunan (BMS) bagi sebuah projek DC di Malaysia, yang turut dijangka dihantar pada suku pertama tahun depan," jelas kenyataan kumpulan berkenaan.

 

Di Thailand pula, subsidiarinya, Swift Energy Co Ltd menerima tempahan daripada Cummins DKSH (Thailand) Limited untuk membekalkan sebanyak 102 set perintang pembumian neutral Cressall bagi tiga DC, dengan penghantaran dijadualkan sepanjang 2027.

 

Swift Energy Co Ltd juga memperoleh kontrak daripada Thai Nippon Steel Engineering & Construction Corporation Ltd bagi membekalkan sistem tenaga solar kalis letupan untuk projek CPOC MDH, dengan penghantaran dijangka pada suku pertama 2027.

 

Kumpulan menjangkakan kontrak-kontrak tersebut memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2027, namun tender berkenaan tidak memberi kesan terhadap modal saham atau struktur pemegang saham syarikat.

 

"Lembaga Pengarah berpandangan penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat, dengan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved