
PETALING JAYA: CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) terus memperkukuh komitmen terhadap perlindungan data pelanggan, privasi dan akauntabiliti dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi penerapan amalan perniagaan bertanggungjawab.
Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat CelcomDigi, Joachim Rajaram berkata, penggunaan teknologi baharu perlu disertai tanggungjawab untuk memastikan data pelanggan dilindungi dan organisasi bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.
“Orang ramai perlu yakin bahawa data mereka dilindungi, organisasi bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat, dan perniagaan mengambil kira kesan pertumbuhan digital terhadap masyarakat secara menyeluruh.
“Skala operasi syarikat memerlukan standard perniagaan ditingkatkan secara berterusan selain kerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani cabaran berkaitan penggunaan teknologi,” katanya di Majlis Pelancaran Hari Perniagaan Bertanggungjawab 2026, di Menara CelcomDigi di sini hari ini.
Forum sempena forum Responsible Business Day 2026 bertemakan ‘Tanggungjawab dalam Era AI’ berkenaan membincangkan penerapan prinsip AI bertanggungjawab dalam operasi perniagaan, termasuk pengurusan data, pengawasan manusia dan kesan pertumbuhan digital terhadap masyarakat.
Beliau berkata, forum itu turut menyaksikan CelcomDigi berkongsi perkembangan dua tahun pelaksanaan strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) lima tahunnya yang merangkumi empat keutamaan utama.
Dalam pada itu, beliau berkata, dalam aspek akses digital, syarikat mengesan dan memberi amaran terhadap kira-kira 260 juta panggilan yang disyaki mempunyai unsur penipuan serta menyekat 22 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) setiap bulan.
“Kempen kesedaran awam Online Safety IRL 2.0 pula mencatatkan 22.3 juta tontonan kandungan berkaitan kesedaran penipuan dalam talian dengan jangkauan terkumpul sebanyak 18.3 juta.
“Bagi rantaian nilai mampan, CelcomDigi menetapkan komitmen tahunan sebanyak 25,000 jam latihan dan 800 pemeriksaan pembekal bagi meningkatkan standard keselamatan serta amalan bertanggungjawab dalam kalangan pembekalnya.
“Dalam aspek tadbir urus, syarikat melaksanakan Rangka Kerja Tadbir Urus AI Bertanggungjawab di seluruh organisasi bagi menetapkan standard penggunaan AI, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Menurutnya, langkah itu turut disokong latihan kesinambungan perniagaan, simulasi krisis dan ujian pemulihan bencana bagi menangani risiko serta memastikan kelangsungan operasi.
Katanya, pelepasan karbon daripada operasi dan tenaga elektrik yang dibeli CelcomDigi berkurangan sebanyak 3.95 peratus antara 2024 hingga 2025.
“Lebih 15,000 tapak rangkaian syarikat turut dilengkapi ciri penjimatan tenaga, manakala pelepasan karbon bagi setiap terabait data yang digunakan menurun sebanyak 30 peratus antara 2023 hingga 2025.
“Forum berkenaan turut menampilkan penceramah daripada HELP University, Christopher & Lee Ong, Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), CrowdStrike, Catalyze Transition dan Mondelēz Malaysia bersama wakil CelcomDigi,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara lain yang dibincangkan termasuk penggunaan data secara bertanggungjawab, daya tahan keselamatan siber serta keperluan tenaga bagi menyokong pertumbuhan digital.-UTUSAN




