
PETALING JAYA: Zetrix AI Berhad (Zetrix AI) dengan kerjasama China Academy of Information and Communications Technology (CAICT) melancarkan perkhidmatan Know Your Agent (KYA) bagi meningkatkan kepercayaan, ketelusan dan akauntabiliti dalam penggunaan ejen kecerdasan buatan (AI).
Perkhidmatan itu memperkenalkan kerangka yang membolehkan ejen AI mempunyai identiti digital yang boleh disahkan dan dipautkan kepada perniagaan atau pengguna individu, sekali gus membolehkan organisasi mengesahkan identiti ejen, pihak yang diwakilinya serta skop kuasa yang diberikan.
Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI, TS Wong berkata, perkembangan AI yang semakin membolehkan ejen membuat keputusan, berinteraksi dengan perniagaan dan melaksanakan transaksi secara bebas perlu disertai tahap akauntabiliti lebih tinggi.
“AI sedang memasuki era baharu apabila ejen pintar semakin berupaya membuat keputusan, berinteraksi dengan perniagaan dan melaksanakan transaksi secara bebas.
“Persoalannya bukan lagi sekadar perkara yang boleh dilakukan AI, tetapi siapa yang bertanggungjawab terhadap tindakannya.
“Menerusi perkhidmatan KYA Zetrix AI, kami berusaha membangunkan masa depan yang membolehkan setiap ejen AI dikenal pasti, setiap kebenaran disahkan dan setiap tindakan dijejaki kepada pemilik yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keupayaan organisasi membezakan aktiviti yang dibenarkan daripada tindakan ejen AI yang tidak mendapat kebenaran menjadi semakin penting apabila teknologi itu semakin banyak mengakses perkhidmatan dalam talian dan melaksanakan transaksi.
Katanya, menerusi perkhidmatan KYA, kelayakan digital yang boleh disahkan digabungkan dengan kebenaran yang diberikan secara khusus serta proses semakan sebelum sesuatu tindakan yang dilindungi dibenarkan.
“Dalam perkembangan berkaitan, Zetrix AI dan CAICT merancang melaksanakan projek perintis rentas sempadan membabitkan organisasi dari Timur Tengah, Afrika, China dan ASEAN bagi menilai pengiktirafan identiti serta kebenaran ejen AI merentasi bidang kuasa berbeza.
“Hasil projek perintis itu akan dikemukakan kepada International Telecommunication Union (ITU), Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE) serta organisasi pembangunan piawaian lain untuk pertimbangan dalam perbincangan berterusan mengenai pembangunan piawaian global berkaitan identiti dan akauntabiliti AI,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Antarabangsa, rangkaian ASTRON CAICT, Xiaoyu You berkata, keperluan terhadap perkhidmatan KYA dijangka terus meningkat seiring dengan pertambahan tanggungjawab yang dipikul ejen AI.
“Kami menjangkakan kerjasama perkhidmatan dengan Zetrix AI ini dapat membantu membangunkan rangkaian kepercayaan rentas sempadan yang membolehkan penggunaan ejen AI secara saling kendali di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, Zetrix AI dan CAICT menyasarkan perkhidmatan itu menjadi asas kepada penggunaan ejen AI yang lebih bebas, namun kekal mempunyai identiti yang boleh dikenal pasti, bertanggungjawab dan dipercayai merentasi sempadan.-UTUSAN
The post Zetrix AI, CAICT lancar perkhidmatan KYA appeared first on Utusan Malaysia.




