CelcomDigi ungguli penarafan ESG syarikat telekomunikasi Malaysia - CIMB Securities

21/04/2025 - 14:57
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 21 April - CelcomDigi Bhd kini muncul sebagai syarikat telekomunikasi (telco) Malaysia dengan prestasi terbaik dari segi penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Menurut CIMB Securities, berada di tempat kedua ialah Telekom Malaysia Bhd (TM), yang meraih skor baik daripada Refinitiv dan S&P Global.
Maxis dan Time dotCom masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat.
CIMB Securities menjelaskan, penilaian ESG oleh agensi utama seperti MSCI, Sustainalytics, FTSE4Good (FTSE4G), Refinitiv (2023) dan S&P Global sering berbeza kerana kaedah dan fokus yang berlainan.
"Bagaimanapun, kami melihat CelcomDigi sebagai telco Malaysia yang paling menyerlah secara keseluruhan.
"Ia mendapat skor tinggi dalam penilaian MSCI, FTSE4G dan Refinitiv, manakala skor dari Sustainalytics dan S&P Global adalah sederhana," jelas CIMB dalam satu laporan.
CelcomDigi dan Maxis masing-masing menerima penarafan AA daripada MSCI, mengkategorikan telco berkenaan sebagai peneraju ESG, mengatasi banyak operator utama di ASEAN seperti Singtel, True Corp, Telkom Indonesia dan PLDT.
Hanya Advanced Info Service dari Thailand berada di tahap yang sama.
Time dotCom pula menonjol dalam penilaian Sustainalytics, berada di tempat kedua terbaik dalam kalangan 14 telco ASEAN.
Syarikat telco Malaysia lain pula mencatat skor lebih sedikit melebihi purata.
Dalam penilaian Refinitiv, CelcomDigi dan TM berada di kedudukan lima teratas di rantau ASEAN.
Namun, dalam penilaian ESG oleh S&P Global, telco Malaysia kurang menyerlah dengan TM adalah yang terbaik dalam negara, tetapi hanya berada pada tahap kedua di peringkat serantau, manakala yang lain berada dalam tahap ketiga dan keempat.
CIMB turut menyatakan, sektor telco secara umumnya tidak berdepan risiko ESG yang besar dan bukan penerima utama manfaat pergerakan ESG global.
"Oleh itu, kami tidak melihat keperluan untuk memberi premium atau diskaun penilaian berdasarkan ESG bagi telco Malaysia.
"Namun, serangan siber yang membawa kepada kebocoran data dan aduan pengguna mengenai kualiti rangkaian adalah antara risiko utama," katanya.
CIMB mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi negara. - DagangNews.com
standard
