Ruang pejabat premium, Signature oleh International Workplace Group kini dibuka di Merdeka 118

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2025 • 4:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ruang pejabat premium, Signature oleh International Workplace Group kini dibuka di Merdeka 118

image is not available

21/04/2025 - 16:45

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 21 April - International Workplace Group (IWG) membuka pusat baharu di bawah jenamanya, Signature, di mercu tanda Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif IWG, Mark Dixon berkata, pembukaan pusat itu menandakan langkah penting dalam mengukuhkan kehadiran syarikat tersebut di Malaysia.

"Kami melihat Menara Merdeka 118 sebagai lokasi perniagaan utama dan strategik untuk menggerakkan rancangan pengembangan kami di rantau ini," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dixon, pelancaran pusat Signature berkenaan dibuat ketika permintaan meluas terhadap lokasi tempat kerja hibrid berkualiti dan rangkaian lokasi kerja yang di seluruh negara.

"Model kerja fleksibel kami telah terbukti meningkatkan kepuasan dan produktiviti pekerja, selain menyokong cara kerja yang lebih lestari.

"Melalui kerjasama berterusan dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB), kami menawarkan alamat perniagaan yang berprestij di antara lokasi paling dikehendaki di dunia, dengan gabungan ruang kerja moden dan lokasi ikonik," ujarnya.

Pusat Signature baharu itu adalah antara lebih 4,000 lokasi di 120 negara oleh IWG dan akan menyokong pertumbuhan masa depan syarikat selaras dengan permintaan yang semakin meningkat untuk kerja hibrid.

Pusat berkenaan merangkumi dua tingkat ruang kerja fleksibel yang menempatkan 637 ruang kerja, tiga bilik mesyuarat, 31 meja kerja bersama, sebuah lounge perniagaan serta kawasan terbuka yang luas untuk menyokong keperluan pelbagai jenis perniagaan, termasuk pilihan untuk ruang khas yang boleh disesuaikan mengikut jenama pelanggan.

Di Malaysia, IWG mengendalikan 45 pusat di bawah empat jenama iaitu Regus, HQ, Signature dan Spaces.

Ia termasuk empat pusat baharu yang diumumkan tahun lalu, serta empat lagi yang akan dibuka tahun ini.

Di Kuala Lumpur sahaja, IWG memiliki 16 pusat.

IWG turut memaklumkan, pusat baharu iu merupakan lokasi keempat yang dibuka dalam bangunan milik PNB, selepas tiga lokasi lain di Johor dan Kuala Lumpur.

Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada strategi pengembangan IWG di Malaysia untuk meningkatkan akses kepada rumusan kerja fleksibel bagi profesional dan syarikat di pelbagai peringkat. - DagangNews.com

standard