CELESTICA Inc bakal menambah lebih 2,100 tenaga kerja di Malaysia susulan permintaan global yang semakin meningkat terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.
Syarikat penyelesaian teknologi termaju serta infrastruktur pusat data yang berpangkalan di Toronto tersebut memaklumkan, pengambilan pekerja tersebut akan melibatkan jawatan bernilai tinggi dalam bidang kejuruteraan pengeluaran dan kejuruteraan reka bentuk, selaras dengan usaha Celestica memperkukuh keupayaan pembuatan dan teknologinya di Malaysia.
"Malaysia memainkan peranan penting dalam operasi global dan strategi pertumbuhan Celestica.
Menerusi peningkatan permintaan terhadap Infrastruktur AI dan pengkomputeran awan yang berterusan, Celestica melabur serta memperluas keupayaannya di Malaysia, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini.
"Celestica kekal komited untuk menyokong pembangunan bakat tempatan seiring dengan peralihan negara ke arah ekonomi bernilai tinggi berteraskan teknologi menerusi pembangunan tenaga kerja dan peluang kemajuan kerjaya," katanya dalam kenyataan.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, Celestica berkata, pihaknya mengendalikan Program Pelatih Pengurusan berstruktur selama dua tahun yang menyediakan pengalaman praktikal, pembangunan profesional serta peluang bimbingan kepada pelajar tahun akhir dan graduan universiti.
"Program ini mengambil graduan berpotensi tinggi dari universiti di seluruh Malaysia dan dirancang khas untuk melahirkan generasi pemimpin seterusnya dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan perniagaan," katanya.
Celestica telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1985 dan kini berkembang kepada sembilan pusat operasi di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.
Operasi syarikat kini merangkumi ruang pembuatan, reka bentuk dan perkhidmatan perniagaan global seluas lebih dua juta kaki persegi, serta menggaji lebih 6,000 pekerja di seluruh negara.
Operasi Celestica di Malaysia menyokong pelanggan dalam pelbagai segmen pasaran, termasuk Hyperscaler, Perusahaan, Komunikasi, Aeroangksa, Perindustrian, Teknologi Kesihatan dan Peralatan Modal.
Celestica Malaysia baru-baru ini meraih pengiktirafan Certified™ daripada Great Place To Work®, penanda aras global bagi budaya tempat kerja, pengalaman pekerja, dan kepimpinan.
Selain sektor kejuruteraan, Celestica turut menawarkan peluang kerjaya bagi peranan Kewangan, Sumber Manusia, Teknologi Maklumat (IT) dan Rantaian Bekalan.
Calon-calon yang berminat untuk meneroka peluang kerjaya bersama Celestica, boleh layari laman kerjaya syarikat.





