Celestica perluas pusat reka bentuk di Bayan Lepas, tambah jurutera tempatan pacu teknologi AI global

LocalTechnology
18 Nov 2026 • 12:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Celestica perluas pusat reka bentuk di Bayan Lepas, tambah jurutera tempatan pacu teknologi AI global Image from: Celestica perluas pusat reka bentuk di Bayan Lepas, tambah jurutera tempatan pacu teknologi AI global amree18/11/2026 - 12:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov — Permintaan pesat infrastruktur kecerdasan buatan (AI) global mendorong Celestica Inc dari Kanada memperluas pusat reka bentuk rumusan platform perkasasan (HPS) di Pulau Pinang, termasuk meningkatkan kapasiti makmal AI kepada 10 megawatt (MW).

 

Langkah itu turut membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi apabila syarikat teknologi global berkenaan merancang mengambil ramai jurutera tempatan terlibat secara langsung dalam pembangunan infrastruktur AI dan pengkomputeran awan bagi pelanggan berskala besar antarabangsa.

 

Pusat reka bentuk yang ditubuhkan pada 2023 di Bayan Lepas itu beroperasi di kemudahan seluas 4,645 meter persegi dan kini mempunyai 210 pekerja yang memberi tumpuan kepada kejuruteraan perkakasan serta perisian bagi menyokong pembangunan teknologi pusat data generasi baharu

 

Kemudahan berkenaan menyediakan keupayaan reka bentuk dan pembangunan menyeluruh merangkumi seni bina elektrik, sistem berkelajuan tinggi, integriti isyarat, pengagihan tenaga elektrik, kejuruteraan mekanikal dan terma, perisian terbenam serta integrasi dan pengujian sistem.

 

"Antara teknologi yang sudah berjaya dibangunkan pasukan HPS Pulau Pinang termasuk suis berkelajuan 1.6 terabit sesaat (1.6T), selain memperoleh sejumlah 18 paten Amerika Syarikat (AS) sepanjang 2026," jelas syarikat tersebut dalam kenyataan pada Rabu.

 

Naib Presiden Hardware Solutions Celestica, Marwan Naboulsi berkata, pasukan di Malaysia bukan sekadar menyokong projek dari lokasi lain, sebaliknya mempunyai keupayaan menyeluruh daripada pembangunan konsep seni bina sistem sehingga pengeluaran besar-besaran.

 

Celestica_DagangNews2026

 

Ketua Pusat Reka Bentuk HPS Celestica Pulau Pinang, Jason Zhang berkata, syarikat berpangkalan di Toronto, Kanada itu sudah mereka bentuk 18 produk pusat data (DC) termaju dalam tempoh tiga tahun, merangkumi seni bina peringkat rak, sistem kuasa dan penyejukan.

 

Menurut syarikat itu, pengembangan operasi berkenaan didorong peningkatan permintaan terhadap infrastruktur AI dan pengkomputeran awan, dengan organisasi kejuruteraan globalnya kini mengendalikan lebih 50 program untuk pelbagai pelanggan hyperscale.

 

Celestica menjana hasil AS$12 bilion (RM51 bilion) pada 2025, dengan perniagaan HPS menyumbang lebih 40% daripada jumlah berkenaan. Syarikat itu juga menduduki tempat pertama dalam syer pasaran global bagi suis back-end Ethernet AI pada suku pertama dan kedua 2026.

 

Selain memperluas pusat reka bentuk, Celestica turut giat mengambil jurutera, juruteknik serta tenaga profesional dalam bidang kewangan, sumber manusia, teknologi maklumat dan rantaian bekalan bagi menyokong sembilan kemudahannya di Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

 

Secara keseluruhan, Celestica kini menggaji kira-kira 7,000 pekerja di Malaysia, sekali gus memperkukuh peranan negara dalam rangkaian kejuruteraan global syarikat itu serta pembangunan teknologi infrastruktur pusat data untuk AI, pengkomputeran awan dan awan hibrid. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved