amree10/11/2026 - 10:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov – Syarikat teknologi Malaysia berisiko ketinggalan dalam persaingan perniagaan jika gagal memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos dan mempercepat pertumbuhan, demikian amaran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah berkata, pengasas syarikat yang terlibat perlu segera melakukan perubahan dengan mengenal pasti penggunaan teknologi ejen AI atau agentic AI bagi mengoptimumkan proses kerja, mengurangkan kos perisian serta mengambil alih tugasan rutin.
"Penjimatan masa hasil penggunaan AI perlu diterjemahkan kepada pencapaian perniagaan yang lebih ketara, termasuk penyampaian perkhidmatan secara pantas, pengurangan kos operasi dan keupayaan melayani ramai pelanggan tanpa menjejaskan kualiti," jelasnya dalam kenyataan.
Beliau menyatakan demikian pada program Elevate & Engage 2026 di ibu negara yang menghimpunkan sejumlah pengasas syarikat teknologi, pelabur dan rakan industri bagi berkongsi pencapaian serta peluang mengembangkan perniagaan tempatan ke pasaran antarabangsa.
Pada program itu, Involve Asia diiktiraf sebagai Digital Exporter of the Year selepas merekodkan hasil eksport melebihi RM100 juta pada 2025 menerusi program DEX Connex kendalian MDEC, iaitu pencapaian tertinggi dalam kalangan syarikat yang menyertai program berkenaan.
Sementara itu, Respond.io menerima anugerah Fundraising of the Year selepas memperoleh dana AS$62.5 juta menerusi pusingan pembiayaan Siri B, selain meraih Malaysia Tech Entrepreneur Programme (MTEP) Flagship Award. Syarikat itu turut merekodkan hasil melebihi RM70 juta pada 2025.

GreatAsic Technology pula menerima anugerah Breakout Fundraising Award selepas memperoleh dana AS$6.9 juta menerusi pusingan Pre-Series A, manakala TNG Digital diiktiraf sebagai syarikat unicorn pertama di bawah Founders Centre of Excellence (FOX) kendalian MDEC.
"Syarikat yang mahu mendapatkan pelaburan dan berkembang ke pasaran antarabangsa perlu membuktikan keupayaan memperoleh serta mengekalkan pelanggan, mengawal kos perkhidmatan dan memastikan prestasi perniagaan yang konsisten," tambah Ganesh.
Menurut beliau, suntikan modal semata-mata tidak menjamin kejayaan sesebuah syarikat untuk dapat berkembang ke peringkat lebih tinggi tanpa ada sokongan sistem, tenaga kerja dan disiplin komersial yang kukuh.
MDEC ujarnya, berjaya merekodkan eksport digital sebanyak RM6.8 bilion dari 2024 hingga separuh pertama 2025, sekali gus mencerminkan potensi syarikat teknologi tempatan untuk memperluas perniagaan ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Azlan Sharom Ketika berucap menegaskan bahawa pembangunan lebih banyak syarikat teknologi tempatan yang berdaya saing di peringkat global menyokong aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030).
"Kerajaan yang menyasarkan sumbangan ekonomi digital sebanyak 30% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030. MDEC turut membangunkan National AI Compute Exchange (NACX) bagi memperluas akses syarikat tempatan kepada sumber pengkomputeran AI," katanya. - DagangNews.com






