Cemas diperhati pemandu e-hailing, wanita terjun dari kereta

LocalPolitics
2 May 2026 • 5:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cemas diperhati pemandu e-hailing, wanita terjun dari kereta
Tangkap layar video tular memaparkan seorang wanita terjun dari kereta pada Jumaat.

KLANG – Rasa cemas dan bimbang terhadap keselamatan diri dipercayai menjadi punca seorang penumpang wanita bertindak terjun dari sebuah kenderaan e-hailing yang masih bergerak di kawasan Taman Eng Ann di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi daripada seorang lelaki tempatan yang juga pemandu e-hailing berusia 47 tahun.

"Ketika kejadian, pemandu terbabit sedang dalam perjalanan menghantar dua penumpang sebelum salah seorang wanita secara tiba-tiba membuka pintu bahagian kanan belakang lalu terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak.

“Pemandu terbabit kemudian segera memberhentikan kenderaan dan mendapati penumpang wanita berkenaan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Vijaya Rao berkata, hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mendakwa dia bertindak sedemikian kerana berasa cemas selepas mendakwa pemandu e-hailing itu memerhatikannya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang jelas.

"Susulan kejadian itu, pemandu berkenaan membatalkan pesanan e-hailing tersebut sebelum wanita terbabit dibantu seorang penunggang motosikal untuk dihantar ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, pengadu kemudian membuat laporan polis.

"Kita sedang berusaha mengesan penumpang wanita terbabit bagi membantu melengkapkan siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan,” katanya.