

BATU PAHAT – Tindakan ganas seorang buruh sawit mengugut dan mengejar isterinya dengan parang selepas menuduh wanita berkenaan menjalinkan hubungan dengan lelaki lain membawa padah apabila dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mustaqim Sukarno menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Fairus Mohamed, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya yang berusia 37 tahun.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Oktober lalu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya menggunakan parang di sebuah rumah di Senggarang, dekat sini, pada pukul 8.30 pagi, 18 Oktober lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku selepas pasangan suami isteri itu bertengkar sebelum tertuduh memarahi dan mengugut mangsa.
Tertuduh kemudian mengambil sebilah parang di dalam bilik sebelum mengejar isterinya yang ketakutan.
Bimbang dicederakan, mangsa melarikan diri ke rumah jiran bagi mendapatkan pertolongan sebelum membuat laporan di Balai Polis Senggarang pada hari sama.
Susulan laporan itu, polis menahan tertuduh pada pukul 1.30 tengah hari bagi membantu siasatan.
Tertuduh yang mempunyai tiga anak menerima hukuman itu selepas mahkamah mengambil kira rayuan serta hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Kamarularifiin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).-KOSMO! ONLINE
The post Cemburu buta bawa padah, buruh dipenjara 9 bulan appeared first on Kosmo Online.






