Shahrin Oli dilantik sebagai Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Pos Malaysia baharu berkuat kuasa 20 Oktober 2025

LocalTechnology
29 Sep 2025 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Shahrin Oli dilantik sebagai Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan Pos Malaysia baharu berkuat kuasa 20 Oktober 2025

image is not available

29/09/2025 - 18:00

Shahrin Oli Mohamed Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept – Pos Malaysia Berhad melantik Shahrin Oli Mohamed sebagai Ketua Pegawai Teknologi Kumpulan (CTO) baharu berkuat kuasa 20 Oktober 2025.

Beliau menggantikan Sumesh Rahavendra, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Digital & Transformasi Kumpulan di Pos Malaysia.

Pos Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan Shahrin akan bertanggungjawab menerajui strategi teknologi keseluruhan syarikat, memacu inovasi digital serta mempercepatkan pemodenan infrastruktur IT teras Pos
Malaysia.

“Pelantikan beliau merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan
komunikasi Kumpulan Pos Malaysia Berhad sebagai syarikat sebagai peneraju logistik dan e-dagang.

“Beliau akan melapor terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer,” menurut kenyataan itu.

Shahrin membawa lebih 20 tahun pengalaman luas di peringkat antarabangsa dalam kepimpinan teknologi, transformasi digital dan pengurusan IT merentasi pelbagai industry termasuk tenaga dan penyelesaian armada.

Beliau menyertai Pos Malaysia dari Gartner Gulf di mana beliau berkhidmat sebagai Rakan Eksekutif, memberi nasihat strategik kepada Lembaga Pengarah dan eksekutif C-suite di rantau MENA (Timur Tengah dan Afrika Utara) serta India.

Di Gartner Gulf, beliau mengetuai pelbagai inisiatif transformasi dalam strategi digital, data & analitik, inovasi dan teknologi merentas pelbagai sektor.

Pos Malaysia berkata, kepakaran beliau akan menjadi aset penting dalam memperkukuh keupayaan teknologi syarikat dengan fokus kepada bidang utama seperti merangka pelan hala tuju masa depan.

“Ini termasuk mengautomasikan operasi, mengoptimumkan rumusan penghantaran jarak terakhir, kecerdasan buatan, meningkatkan pengalaman pelanggan melalui platform digital, serta memperkukuh langkah keselamatan siber,” kata Pos Malaysia.

Sementara itu, Charles Brewer berkata, pihaknya amat berbesar hati mengalu-alukan Shahrin ke dalam pasukan kepimpinan syarikat.

“Rekod pencapaian beliau dalam memacu kecemerlangan teknologi dan pertumbuhan digital selaras dengan visi strategik kami untuk memperkukuh operasi syarikat serta memberikan nilai yang lebih tinggi kepada pelanggan.

“Seiring dengan perubahan landskap logistik, kepimpinan Shahrin akan menjadi faktor penting dalam memanfaatkan teknologi untuk menjadikan Pos Malaysia lebih tangkas, cekap dan inovatif,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrin berkata, peluang untuk memimpin transformasi teknologi sebuah ikon nasional adalah satu cabaran besar dan pada masa yang sama merupakan satu penghormatan buat dirinya.

“Saya menantikan peluang bekerjasama dengan pasukan berbakat di sini untuk membangunkan penyelesaian teknologi yang kukuh dan berskala, yang bukan sahaja memperkemaskan operasi kami malah mewujudkan pengalaman pelanggan yang lancar dan menggembirakan dalam era digital ini,” katanya.

Shahrin berkelulusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Manchester dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia. - DagangNews.com

standard