KPJ Healthcare raih tiga anugerah di The Edge Billion Ringgit Club 2025

24/09/2025 - 16:54
Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan (empat dari kiri) bersama-sama barisan kepimpinan kanan KPJ Healthcare meraikan kemenangan selepas Majlis Anugerah The Edge Billion Ringgit Club 2025 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 24 Sept – KPJ Healthcare Berhad mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu syarikat tersenarai berprestasi tinggi negara selepas merangkul tiga anugerah utama di The Edge Billion Ringgit Club (BRC) 2025.
Kumpulan itu memenangi Anugerah Permodelan Besar (RM10 bilion – RM40 bilion) kerana telah mencapai pertumbuhan tertinggi dalam keuntungan selepas cukai dalam tempoh tiga tahun.
Kumpulan itu turut meraih dua anugerah yang lain dalam sektor penjagaan kesihatan iaitu ‘pertumbuhan tertinggi dalam keuntungan selepas cukai’ dan ‘pulangan tertinggi kepada pemegang saham’ dalam tempoh yang sama.
Anugerah BRC tahunan anjuran The Edge Malaysia ini meraikan syarikat senaraian awam terbaik di Malaysia dengan permodelan pasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion berdasarkan prestasi mereka sepanjang tiga tahun.
Majlis anugerah tahunan itu disempurnakan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, Kumpulan sangat berterima kasih kepada perunding, kakitangan dan pihak berkepentingan atas sokongan mereka dalam menjayakan pencapaian ini.
“Pengiktirafan ini mencerminkan kepercayaan terhadap KPJ Healthcare dan mengesahkan kekuatan kewangan kami untuk menjana nilai jangka panjang bagi pemegang saham serta memastikan hasil terbaik untuk pesakit dan komuniti.
“Menerusi KPJ Health System, kami mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan, sambil memajukan inovasi digital bagi membina model penjagaan kesihatan yang mampan dan bersedia untuk masa hadapan.
“Sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar di Malaysia, kami komited meningkatkan standard dan menyampaikan nilai kepada semua pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.


Kemenangan itu juga menonjolkan kemajuan KPJ Health System melalui pembangunan Pusat Kecemerlangan yang mengukuhkan sub kepakaran dan rangkaian klinikal, disokong teknologi digital dan amalan mampan, sekali gus meletakkan KPJ Healthcare sebagai peneraju transformasi penjagaan kesihatan di Malaysia.
Dengan 30 hospital di seluruh negara, lebih 1,490 perunding perubatan dan lebih 3.3 juta pesakit setiap tahun, KPJ Healthcare terus membentuk masa depan penjagaan kesihatan negara.
Berlandaskan misi “Care for Life”, KPJ Helathcare bertekad memberikan perkhidmatan cemerlang dalam penjagaan kesihatan dengan nilai terbaik untuk pesakit, pemegang saham dan komuniti.
Ketika ini, KPJ Healthcare turut mengendalikan empat Pusat Jagaan Ambulatori, lapan Klinik Waqaf An-Nur (KWAN), lapan pusat dialisis, serta sembilan klinik bergerak.
Sebahagian hospitalnya diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) manakala empat lagi oleh Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI).
Di peringkat pendidikan, Universiti KPJ Healthcare (KPJU) di Negeri Sembilan menawarkan lebih 40 program dari Asasi hingga PhD, menyokong pengembangan berterusan tenaga profesional kesihatan yang terlatih.
KPJ Healthcare juga tersenarai dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, menekankan kepatuhan terhadap amalan perniagaan mampan. - DagangNews.com
standard




