Centexs dan Huawei lancarkan Cenhua 2.0 tingkatkan kemahiran digital graduan Sarawak

22/08/2025 - 17:19
Pertukaran MoU antara Huawei dan Centexs sempena pelancaran cenhua 2.0 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak Sdn Bhd (Centexs) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd memperkukuh kerjasama strategik dalam latihan teknologi, inovasi dan pembangunan bakat melalui pelancaran program Cenhua 2.0.
Program itu bertujuan memperluas kemahiran teknologi, memupuk inovasi serta melengkapkan tenaga kerja Sarawak menghadapi permintaan ekonomi digital ASEAN yang pesat berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutif Centexs, Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata Cenhua 2.0 akan melaksanakan kursus pensijilan berasaskan industri dalam teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), membangunkan kandungan akademik yang mengintegrasikan kajian kes industri; serta meneroka aplikasi AI ke atas data organisasi Centexs.
“Kerjasama ini juga akan meneliti pelaksanaan Program Kecemerlangan Kepimpinan Digital Huawei di Sarawak untuk memperkasakan pemimpin digital negeri itu dengan pendedahan langsung kepada amalan teknologi terbaik di peringkat global.
“Secara tidak langsung, ini akan membantu mereka bersaing dan bekerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa dalam ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Melalui kerjasama itu, Huawei juga akan menyediakan bimbingan khusus untuk pelatih dan graduan melalui Pusat Ciptaan dan Inovasi Centexs serta inisiatif yang meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dan peluang penempatan kerja di ASEAN.
Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata, syarikat itu sangat komited menyokong visi Sarawak untuk ekonomi digital yang kompetitif dan inklusif dengan pelancaran Cenhua 2.0.
“Masa depan adalah tentang kerjasama, inovasi dan pembelajaran berterusan. Dengan menggabungkan kepakaran teknologi global Huawei dengan asas kukuh tempatan Centexs, kami dapat menyampaikan program yang memperkasakan bakat, mempromosikan inovasi dan mewujudkan nilai ekonomi jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, Centexs akan meneroka bidang teknologi pintar seperti pusat data dan aplikasi AI baharu untuk Malaysia.
“Kami telah bekerjasama dengan Huawei selama tujuh tahun melalui program Cenhua dan teruja untuk meneroka pasaran negara luar.
“Kami akan mempertimbangkan kepada nasihat Huawei mengenai negara mana untuk memulakannya dan kami terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana negara yang memerlukan kami.
“Banyak negara ASEAN sudah melihat Malaysia sebagai model, jadi sekarang adalah masa yang tepat untuk bertindak,” katanya.
Cenhua 1.0 dilancarkan pada tahun 2017 untuk menyediakan latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) relevan industri serta memperluas liputan jalur lebar di Sarawak.
Kerjasama itu telah memainkan peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja bersijil global, merapatkan jurang digital antara komuniti bandar dan luar bandar serta menyokong agenda ekonomi digital Sarawak.
Dalam Cenhua 2.0 pula, ia akan memanfaatkan AI ke dalam 104 program latihan Centexs yang merangkumi 10 industri, daripada kemahiran teknikal mendalam seperti kejuruteraan pusat data, algoritma dan set data.- DagangNews.com
standard




