AirAsia tawar diskaun dan pakej pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026

22/08/2025 - 16:37
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 22 Ogos – Penganjuran AirAsia Travel Fair 2025 membuka tirainya hari ini dengan menawarkan pelbagai insentif menarik, termasuk diskaun sehingga 35 peratus bagi penerbangan ke destinasi domestik dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Komersial Kumpulan AirAsia, Amanda Woo berkata, acara yang berlangsung selama tiga hari itu turut menawarkan lebih 1,000 pakej pelancongan eksklusif daripada ejen dan rakan industri, baucar tunai RM100 untuk 100 pelanggan terawal setiap hari serta cabutan bertuah bagi 700 tiket penerbangan percuma.
“Penganjurannya selaras dengan usaha AirAsia untuk memperluaskan ekosistem pelancongan bersama rakan industri serta menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengunjung.
“Untuk tahun ini sahaja, AirAsia telah menyambung semula lima laluan dan melancarkan 25 laluan baharu, menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab mega yang menghubungkan bandar utama di seluruh ASEAN dan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertempat di Aras 5, Pavilion Bukit Jalil Centre Court, pameran itu menghimpunkan pengembara, ejen pelancongan, lembaga pelancongan serta rakan industri buat julung kali di bawah satu bumbung untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab perjalanan utama serantau dan antarabangsa menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Seramai 47 juta pelancong disasarakan datang ke Malaysia sempena TMM 2026 yang dijangka menjana limpahan ekonomi sebanyak RM329 bilion.
Ketika ini, AirAsia menyumbang lebih 96 peratus daripada trafik penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2), dengan lebih 25.8 juta penumpang pada 2024 ke lebih 130 destinasi merentasi Asia, Australia, Asia Tengah dan Timur Tengah.
Laluan baharu termasuk Kuala Lumpur–Tashkent, Istanbul, Palembang, Semarang, Banjarmasin dan Darwin turut memperkukuh kedudukan ibu negara sebagai hab penerbangan utama. - DagangNews.com
standard





