CEO Alam Maritim Azmi Ahmad didakwa atas pertuduhan menipu kadar sewaan harian kapal

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 9:50 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: CEO Alam Maritim Azmi Ahmad didakwa atas pertuduhan menipu kadar sewaan harian kapal

Perbuatan itu didakwa mendorong Iskandar bersetuju menandatangani “BIMCO Supplytime 2017” dengan “Daily Charter Rate” berjumlah RM70,000 sehari di antara Alam-JV DP2 (L) Inc. dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd Datuk Azmi Ahmad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu berhubung kadar sewaan harian kapal.

Azmi, 67, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” katanya selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan satu persatu.

Mengikut pertuduhan pertama, Azmi didakwa menipu Pegawai Prinsipal TH Alam Management Sdn Bhd Iskandar Mohd Zaffa, 48, dengan menyembunyikan tawaran sebenar “Daily Charter Rate” bertarikh 24 Ogos 2023 yang memperuntukkan RM80,500 sehari di dalam “Work Order”.

Perbuatan itu didakwa mendorong Iskandar bersetuju menandatangani “BIMCO Supplytime 2017” dengan “Daily Charter Rate” berjumlah RM70,000 sehari di antara Alam-JV DP2 (L) Inc. dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menipu individu sama dengan menyembunyikan tawaran sebenar “Daily Charter Rate” bertarikh 15 Jan 2024, yang memperuntukkan sejumlah RM110,000 sehari di dalam “Work Order” sehingga mendorong lelaki itu menandatangani “BIMCO Supplytime 2017” dengan “Daily Charter Rate”, RM78,000 sehari di antara TH-Alam Management dan Alam Maritim.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bangunan di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Sri Petaling di sini pada 6 Sept 2023 dan 16 Jan 2024, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohammad Sobry menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri setiap tiga bulan sekali di Pejabat SPRM Putrajaya dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili Azmi memohon supaya jaminan dikurangkan pada RM100,000 kerana jumlah yang ditawarkan itu terlalu tinggi selain anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Tujuan jaminan adalah untuk memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah. Anak guam saya mempunyai tanggungan seorang isteri dan enam anak yang paling kecil berusia enam tahun selain tertuduh juga mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan pemeriksaan,” katanya.

Wan Muhd Ariff Ameer turut memohon supaya pasport yang diambil SPRM dikembalikan semula kepada tertuduh kerana anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri.

Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 Nov untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved