
CEO Apple, Tim Cook Bakal Letak Jawatan
Apple mengumumkan bahawa Tim Cook akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) gergasi teknologi itu pada bulan September depan, lapor AFP.
Pengumuman itu menjawab teka-teki yang sekian lama telah berlegar mengenai pengganti Cook. Jawatan itu akan disandang oleh veteran syarikat terbabit, John Ternus.
Cook, 65, berkata beliau akan menjadi Pengerusi Eksekutif Lembaga apabila melepaskan jawatan CEO Apple.
"Ia merupakan satu penghormatan besar dalam hidup saya untuk menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Apple dan telah diberi kepercayaan untuk memimpin syarikat yang luar biasa ini," katanya dalam satu kenyataan.

Cook menyertai Apple pada tahun 1998, dinaikkan pangkat dan membantu memacu kejayaannya sebagai ketua pegawai operasi yang menyelaras rantaian bekalan kompleks pembuat iPhone itu.
Baca juga:
Apple Pilih Gemini AI Google Untuk Kuasakan Siri
Tim Cook Yakinkan Trump, Apple Selamat Dari Impak Tarif
Beliau menjadi ketua eksekutif pada tahun 2011 selepas pengasas bersama dan pemimpin ikoniknya, Steve Jobs, meninggalkan syarikat itu kerana masalah kesihatan.
Cook dikreditkan kerana mengembangkan rangkaian produk Apple dan meningkatkan nilai syarikat kepada kira-kira $4 trilion berdasarkan nilai sahamnya.
Beliau juga menjadi 'dalang' strategi yang menjadikan China pangkalan pengeluaran utama untuk peranti Apple, dengan sebahagian besar iPhone dipasang oleh kontraktor Foxconn dan pembekal lain di kilang-kilang China.
"Kepimpinan Tim yang luar biasa telah mengubah Apple menjadi syarikat terbaik dunia.
"Integriti dan nilai-nilainya diterapkan dalam semua yang dilakukan oleh Apple," kata Pengerusi Lembaga Pengarah yang akan meletak jawatan, Arthur Levinson, dalam kenyataan itu.
Levinson kini memegang jawatan pengerusi lembaga dalam peranan bukan eksekutif. Beliau akan menjadi pengarah bebas utama lembaga.
Sementara itu, Ternus menyertai pasukan reka bentuk produk Apple pada tahun 2001 dan menjadi naib presiden kanan kejuruteraan perkakasan sepanjang dua dekad berikutnya.

Beliau dikreditkan oleh Apple kerana memainkan peranan dalam pelbagai produk termasuk iPhone, iPad, Apple Watch dan komputer Mac.
"Setelah menghabiskan hampir keseluruhan kerjaya saya di Apple, saya bernasib baik kerana pernah bekerja di bawah Steve Jobs dan mempunyai Tim Cook sebagai mentor saya," kata Ternus dalam kenyataan yang sama.


