
Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan kepulangan Formula 1 ke Malaysia menerusi Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam kenyataan rasmi SIC, Azhan menyifatkan peluang menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij itu sebagai satu penghormatan besar serta hasil kerjasama unik antara Formula 1, FIA, Kerajaan Bahrain dan Kerajaan Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Belia dan Sukan, YB Dr. Mohammed Taufiq bin Johari atas sokongan dan keyakinan terhadap kemampuan SIC untuk kembali menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.
Menurut Azhan, sokongan serta persetujuan daripada pihak berkaitan menjadi faktor penting yang membolehkan kerjasama bersejarah ini direalisasikan, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia dalam mengendalikan acara antarabangsa berprofil tinggi.
Beliau turut menyatakan komitmen SIC untuk memberikan penganjuran terbaik dengan mengutamakan kecemerlangan, profesionalisme serta hospitaliti Malaysia dalam menyambut kepulangan keluarga Formula 1 ke Sepang.
“Selama hampir dua dekad, Sepang sinonim dengan Formula 1. Di sinilah perlumbaan ikonik berlangsung, persaingan legenda tercipta dan generasi peminat jatuh cinta kepada sukan ini,” kata Azhan.
Walaupun Formula 1 tidak beraksi di Sepang sejak 2017, beliau menegaskan semangat perlumbaan itu tidak pernah hilang daripada litar berstatus FIA Grade 1 tersebut.
SIC juga terus melakukan pelaburan terhadap fasiliti, tenaga kerja dan keupayaan operasi bagi memastikan litar bersedia memenuhi standard tertinggi yang ditetapkan Formula 1.
Selain perlumbaan, Azhan melihat kerjasama ini sebagai peluang besar untuk mempromosikan Malaysia di pentas dunia, mengukuhkan sektor pelancongan, menjana nilai ekonomi serta memberi inspirasi kepada generasi baharu peminat sukan permotoran.
Formula 1 akhirnya kembali ke Sepang, membuka satu lagi bab bersejarah dalam perjalanan litar ikonik Malaysia itu.
The post CEO SIC Zahir Penghargaan Atas Sokongan Kerajaan, Formula 1 Kembali Ke Sepang appeared first on TW Media.






