Cepat-cepatlah umum pembubaran DUN Melaka – Zahid

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 8:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cepat-cepatlah umum pembubaran DUN Melaka – Zahid

MELAKA: Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mempercepatkan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, pengumuman tersebut tidak seharusnya ditangguhkan terlalu lama kerana rakyat, khususnya golongan muda, perlu diberikan ruang untuk menentukan hala tuju dan masa depan negeri berkenaan.

“Datuk Seri Rauf, gunakanlah dukungan daripada anak-anak muda ini untuk terus menstabilkan politik negeri Melaka. Berikanlah peluang kepada mereka.

“Cepat-cepatlah umum. Jangan tunggu lewat. Lebih cepat, lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Anak Muda Melaka Jom Heboh 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, sokongan golongan muda terhadap kepimpinan kerajaan negeri perlu dimanfaatkan bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan Melaka dapat diteruskan.

Katanya, golongan berusia antara 15 hingga 30 tahun di negeri itu kini berjumlah kira-kira 293,000 orang, manakala hampir 53 peratus penduduk Melaka terdiri daripada mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.

“Ertinya, potensi tenaga kerja di Melaka ini cukup besar kerana ia bergantung kepada guna tenaga anak-anak muda di negeri Melaka ini.

“Apabila potensinya besar, ertinya banyak perkara yang boleh digarap oleh kita,” katanya.

Menurut beliau, kekuatan BN di Melaka perlu dipertahankan berdasarkan sokongan yang pernah diterima parti itu daripada rakyat negeri berkenaan.

Beliau berkata, pengalaman lalu membuktikan BN mampu memperoleh kemenangan menerusi kekuatan sendiri, namun keadaan politik semasa memerlukan kebijaksanaan dalam menentukan bentuk kerjasama yang sesuai.

“Kalau dulu kita telah membuktikan dengan solo, kita membuat keputusan dan rakyat Melaka bersama-sama dengan gelombang biru ketika itu,” katanya.

Beliau pada masa sama menyuarakan keyakinan bahawa gelombang biru bakal kembali mewarnai Melaka pada PRN akan datang.

Katanya, gelombang berkenaan sebelum ini dapat dilihat di beberapa negeri lain dan beliau yakin fenomena sama mampu berlaku di Melaka sekiranya BN terus mendapat sokongan rakyat.

“Apabila tiba waktunya yang sesuai, apabila tiba hari besar yang harus menentukan masa depan Melaka, jangan lupa bahawa gelombang biru yang pernah berlaku di Johor, berlaku di Negeri Sembilan, insya-Allah gelombang biru itu akan berada di negeri Melaka juga,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera BN supaya tidak melakukan kesilapan walaupun kecil kerana pihak lawan sentiasa mencari kelemahan untuk dijadikan bahan serangan politik.

“Jangan buat silap walaupun sedikit. Seteru politik sentiasa mencari kelemahan kita.

“Yang baik, tanyalah kawan. Yang tidak baik, tanyalah musuh. Dalam kawan ada musuh, dalam musuh ada kawan,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, kerjasama politik yang bakal dibentuk tidak seharusnya menyebabkan mana-mana pihak dipaksa menjadikan musuh kepada rakan sekutunya. – UTUSAN

The post Cepat-cepatlah umum pembubaran DUN Melaka – Zahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved