PRN Melaka: Cepatlah umum, jangan lewat, lebih cepat lebih baik - Ahmad Zahid

LocalPolitics
6 Sep 2026 • 7:42 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Melaka: Cepatlah umum, jangan lewat, lebih cepat lebih baik - Ahmad Zahid
Zahid (kanan) dan Ab Rauf hadir pada Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di MITC, pada Ahad.

MELAKA - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu keputusan mengenai kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan segera.

Ahmad Zahid berkata, langkah itu penting bagi membolehkan jentera parti, khususnya golongan anak muda, membuat persiapan menghadapi PRN berkenaan.

Beliau turut memberi mandat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk berunding dan memilih rakan kerjasama yang mampu membantu Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan.

“Datuk Rauf, gunakanlah sokongan daripada anak-anak muda ini untuk terus menstabilkan politik Melaka.

“Berikanlah peluang kepada mereka. Cepat-cepatlah umum! Jangan tunggu lewat! Lebih cepat, lebih baik! Anak-anak muda telah bersedia! Semua sedia gelombong biru, geng biru,” katanya berucap pada Majlis Penutup Konvoi Bermotor Karnival Anak Muda di MITC di sini pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, rakan kerjasama yang dipilih perlu mempunyai kesetiaan serta keikhlasan dalam memastikan kemenangan BN.

“Datuk Rauf, saya beri mandat, berunding elok-elok. Pilih partner yang taat setia, yang boleh memberikan kemenangan kepada kita! Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita!

“Pilih partner yang bercakap di belakang sama di depan sama! Bukan yang cakap depan lain, belakang buat lain,” katanya.

Katanya, BN sebelum ini pernah membuktikan kemampuan untuk bertanding secara solo dan mendapat sokongan rakyat Melaka.

“Kalau dulu kita telah membuktikan dengan solo, kita membuat keputusan dan rakyat Melaka bersama-sama dengan gelombang biru ketika itu.

“Datuk Rauf, berunding elok-elok, jaga hati orang Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyasarkan BN mempertahankan sekurang-kurangnya 21 kerusi pada PRN Melaka akan datang.

“Jangan kurang daripada 21 kerusi! Yang tujuh kerusi lagi, tidak apa kita serah pada mereka.

“Ini bukan kempen politik, ini kempen anak muda. Sebab anak muda yang akan menentukan bangun jatuhnya Negeri Melaka.

“Bagaimanapun, saya yakin bukan sekadar anak muda, seluruh pengundi Melaka telah berada dalam mood Gelombang Biru dan Geng Biru di Negeri Melaka!” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved