‘Ceplos-ceplos’ masih tidak puas hati dengan saya, hentikan’ – Jalaluddin

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 1:55 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ‘Ceplos-ceplos’ masih tidak puas hati dengan saya, hentikan’ – Jalaluddin

KUALA PILAH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meminta ‘ceplos-ceplos’ yang masih tidak berpuas hati terhadap dirinya supaya menghentikan perselisihan serta melihat ke hadapan.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan dan kembali berganding bahu bagi melaksanakan mandat besar yang diberikan rakyat kepada BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Saya memberi pandangan kepada ‘ceplos-ceplos’ ini yang masih lagi tidak puas hati kepada Jalaluddin Alias supaya hentikanlah. Kita pandang ke hadapan, bergerak ke hadapan.

“Sekarang ini tugas kita sangat penting. Mandat rakyat yang begitu besar diberikan kepada BN dan PN ini perlu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, ‘perang psikologi’ antara pemimpin parti politik di Negeri Sembilan perlu ditamatkan serta-merta bagi membolehkan semua pihak kembali berganding bahu melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.

Katanya, 36 Ahli Dewan Negeri (ADN) yang diberikan mandat perlu memberi tumpuan kepada tugas masing-masing kerana setiap tindakan dan prestasi mereka sentiasa diperhatikan rakyat.

“Kita perlu ingat, rakyat sentiasa memperhatikan tingkah laku dan tugas yang dijalankan oleh semua wakil yang telah diberikan mandat.

“Rakyat akan menghakimi masa depan kerajaan dan Ahli Dewan Negeri yang mereka pilih dalam tempoh penggal ini dan pada pilihan raya akan datang.

“Rakyat akan buat keputusan terhadap prestasi yang telah kita laksanakan bagi tempoh ini,” katanya.

Sehubungan itu, Jalaluddin meminta semua pihak menghentikan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan perpecahan termasuk penyebaran fitnah dan adu domba.

“Berhentikan semua, jangan ada lagi fitnah, jangan ada lagi adu domba.

“Matlamat kita adalah untuk mengambil langkah awal bagi menghebatkan Negeri Sembilan semula dan insya-Allah dapat kita laksanakan dengan baik,” katanya. – UTUSAN

The post ‘Ceplos-ceplos’ masih tidak puas hati dengan saya, hentikan’ – Jalaluddin appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved