
KUALA PILAH – Individu yang masih tidak berpuas hati terutamanya ‘ceplos-ceplos’ berhubung perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan dinasihatkan supaya berhenti mempersoalkan perkara yang telah diputuskan dan bergerak ke hadapan.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semua pihak perlu berhenti melihat ke belakang sebaliknya bergerak ke hadapan untuk melaksanakan mandat besar yang diberikan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya memberi pandangan kepada ‘ceplos-ceplos’ ini yang masih lagi tidak puas hati kepada Jalaluddin Alias (saya) supaya hentikanlah. Kita pandang ke hadapan, move forward.
“Sekarang ini tugas kita sangat penting. Mandat rakyat yang begitu besar yang diberikan oleh rakyat kepada BN dan PN ini perlu dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.
Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang berkata, sudah tiba masanya sebarang perselisihan antara pemimpin parti politik di negeri ini dihentikan supaya semua pihak dapat berganding bahu menjalankan tanggungjawab.
“Saya sudah memaklumkan sebelum ini, cycle war antara pemimpin-pemimpin parti politik di Negeri Sembilan ini harus ditamatkan serta-merta.
“Kita berganding bahu semula dan laksanakan tanggungjawab terutamanya bagi 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah diberikan mandat untuk menjalankan tugas dan amanah rakyat,” katanya.
Menurut beliau, rakyat sentiasa memerhatikan tingkah laku serta prestasi semua parti dan wakil rakyat yang diberikan mandat.
Katanya, rakyat juga akan menjadi pihak yang menentukan masa depan kerajaan dan wakil rakyat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang tempoh penggal ini.- KOSMO! ONLINE
The post ‘Ceplos ceplos’ yang tak puas hati dinasihat move forward – Jalaluddin appeared first on Kosmo Digital.






