'Pandang ke hadapan, jangan ada lagi fitnah, adu domba- Jalaluddin

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 2:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Pandang ke hadapan, jangan ada lagi fitnah, adu domba- Jalaluddin
Jalaluddin menggesa semua pihak yang masih tidak berpuas hati terhadap beliau supaya menghentikan segala tuduhan dan fitnah dilemparkan.

KUALA PILAH – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa semua pihak yang masih tidak berpuas hati terhadap beliau supaya menghentikan segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan.

Beliau berkata, semua pihak perlu memandang ke hadapan serta memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri.

"Kepada yang masih lagi tidak berpuas hati kepada Jalaluddin Alias, hentikanlah. Kita pandang ke hadapan kerana tugas kita sangat penting.

"Mandat yang diberikan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) perlu dilaksanakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, 'pisco war' dalam kalangan pemimpin parti politik di negeri itu juga perlu ditamatkan serta-merta.

Ujarnya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik perlu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap mandat yang telah diberikan rakyat.

"Kita berganding bahu semula dan laksanakan tanggungjawab, terutamanya bagi 36 ADUN yang telah diberi mandat untuk menjalankan tugas dan amanah yang diberikan oleh rakyat.

"Kita perlu ingat rakyat sentiasa memerhati tingkah laku dan tugas dijalankan oleh semua ADUN yang telah diberi mandat," katanya.

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang berkata, rakyat akan menilai prestasi kerajaan dan semua ADUN sepanjang tempoh penggal pentadbiran sebelum membuat keputusan pada pilihan raya akan datang.

"Jadi, jangan ada lagi fitnah. Jangan ada lagi adu domba. Saya gembira sangat pada hari ini dan matlamat kita untuk mengambil langkah awal bagi memperhebatkan Negeri Sembilan semula.

"Insya-ALLAH dapat kita laksanakan dengan baik," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved