Cerita pasar karat: Yang terpakai tetap berharga

4 Mar 2026 • 9:30 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menjual barangan terpakai mengajar kita bahawa dalam serba kekurangan, manusia masih mampu saling memberi nilai antara satu sama lain. Foto: Imej janaan AI Gemini

FENOMENA jualan pakaian dan barangan terpakai di pasar karat, car boot sale, flea market dan platform fizikal seumpamanya bukan lagi asing dalam landskap ekonomi harian masyarakat Malaysia.

Apa yang dahulu dianggap aktiviti sampingan, kini berkembang menjadi satu bentuk ekonomi mikro yang hidup dan berdenyut, digerakkan individu biasa yang mahu menjana pendapatan, mengurangkan pembaziran,dan dalam masa sama memberi ‘nafas kedua’ kepada barangan yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup mereka.

Penulis tidak menjual, tetapi melihat dan sama-sama merasai pengalaman bagaimana rakan berjuang menjual barangan terpakai mereka di car boot sale.

Seawal pasar dibuka, mereka menghampar tikar, membuka meja dan mula menyusun pakaian lama, kasut terpakai, beg serta pelbagai barangan rumah yang sudah tidak digunakan. Dari jauh, ia kelihatan biasa. Namun apabila diperhatikan lebih dekat, di situlah tersimpan cerita hidup yang tidak pernah tercatat dalam resit jualan.

Rakan penulis ini bukan sekadar berniaga, mereka belajar sabar dan reda. Ada yang sudah berpengalaman, ada juga pertama kali berjualan. Ada yang menjual kerana mahu menambah belanja dapur, ada mahu mengosongkan rumah, dan ada juga sekadar mahu melepaskan barang lama tanpa membazir. Setiap barangan yang dijual ada asal-usulnya, pernah dibeli dengan harapan, disimpan dengan sayang dan kini dilepaskan dengan ikhlas.

Dalam seronok melayan pelanggan, cuaca tiba-tiba berubah. Langit cerah bertukar kelabu, angin mula kuat dan hujan tanpa banyak amaran. Rakan terpaksa menutup sementara booth, mengangkat barangan dengan cemas daripada basah. Ada ketawa kecil, ada mengeluh perlahan. Dalam kekalutan itu, penulis melihat sisi manusia yang jujur—tiada marah berlebihan, hanya penerimaan bahawa inilah dugaan berniaga di bawah langit terbuka.

Menariknya, apabila hujan reda dan booth dibuka semula, pembeli kembali datang. Ada sekadar bertanya dan ada sengaja membeli walaupun tidak terlalu perlu. Pada pemerhatian penulis, di situlah nilai kemanusiaan muncul. Jual beli di car boot sale bukan sekadar pertukaran wang dan barangan, tetapi empati dan sokongan sesama insan.

Mengapa barangan terpakai ini berharga kepada orang lain? Mungkin jawapannya terletak pada keperluan dan perspektif. Baju tidak muat bagi seorang rakan menjadi pakaian sangat bermakna bagi pembeli lain. Langsir lama disimpan bertahun menjadi pelengkap rumah seseorang. Nilai itu bukan hilang, cuma berpindah.

Melihat rakan berniaga juga membuatkan penulis sedar ekonomi kecil ini sangat rapuh tetapi jujur. Hujan boleh menghentikan jualan, panas boleh melelahkan badan, tetapi semangat tetap ada.

Mereka berniaga barangan terpakai ini sebenarnya memahami satu perkara penting—rezeki tidak sentiasa datang dalam bentuk sempurna, tetapi patut disyukuri. Apatah lagi melihat senyuman puas hati peniaga dengan hasil jualan.

Pasar karat atau car boot sale bagi penulis bukan sekadar lokasi fizikal. Ia adalah ruang belajar tentang kehidupan, tentang melepaskan, tentang menerima dan tentang terus berdiri walau apa pun dugaan mendatang.

Dan mungkin, di situlah makna sebenar jualan barangan terpakai—ia mengajar kita bahawa dalam serba kekurangan, manusia masih mampu saling memberi nilai antara satu sama lain.

*Puperahaizad Darsono ialah Sub Editor Sinar Harian