MALAM minggu, jalan raya tiba-tiba bertukar menjadi ‘litar’ tidak rasmi.
Deruman enjin silih berganti, masing-masing nak tunjuk siapa paling berani, siapa paling laju, siapa paling ‘legend’.
Lampu isyarat bukan lagi tanda berhenti, tapi macam garisan mula perlumbaan. Sorakan kawan jadi pembakar semangat, telefon pula siap merakam untuk dijadikan bahan kandungan media sosial.
Sampailah satu ketika, bunyi dentuman kuat memecah malam dan suasana terus berubah. Seorang rebah. Tubuh yang tadi gagah menekan minyak, kini terbaring kaku di atas jalan.
Sekelip mata semuanya jadi sunyi. Yang tadi ketawa paling kuat, sekarang paling kuat beristighfar.
Ada mengucap panjang, ada yang terduduk pegang kepala, ada terpinga-pinga seperti baru sedar dunia ini bukan pentas filem aksi boleh diulang siar.
Merak Jalanan bukan mahu menghukum, cuma hairan. Waktu merancang hendak berlumba, semua tahu itu salah. Waktu pulas minyak, semua sedar risikonya. Tetapi selagi belum jadi pada diri sendiri atau kawan rapat, semuanya rasa kebal.
Rasa seperti kemalangan itu hanya berita di telefon, bukan takdir boleh singgah bila-bila masa.
Bila musibah berlaku depan mata, barulah nama Tuhan disebut tanpa henti. Persoalannya, insaf itu bertahan berapa lama? Setakat malam kejadian sahaja? Atau sehingga minggu depan apabila enjin kembali dihidupkan dan ego kembali memuncak?
Skripnya terlalu kerap berulang...pelukan, janji mahu berubah. Namun tidak lama kemudian, jalan raya kembali dijadikan gelanggang.
Berani sebenar bukan pada siapa paling laju, tetapi siapa paling berani berhenti sebelum terlambat.
Jangan tunggu batu nisan jadi peringatan tetap, kerana bila nyawa sudah terhenti, penyesalan hanya tinggal cerita dan air mata.


