Cermin kereta retak akibat panas, lelaki tanggung kerugian hampir RM3,000

LocalCars
29 Mar 2026 • 8:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video dikongsikan oleh pemilik kenderaan berkenaan, Abdul Rahman Mohd Jamadi, 29, di akaun TikTok miliknya, @amanjamadi.

SHAH ALAM – Seorang lelaki mengalami kerugian hampir RM3,000 apabila cermin belakang keretanya retak, dipercayai akibat cuaca panas.

Perkara itu dikongsikan oleh pemilik kenderaan berkenaan, Abdul Rahman Mohd Jamadi, 29, menerusi satu video di akaun TikTok miliknya, @amanjamadi.

Abdul Rahman yang juga pengasas sebuah kedai komputer berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia menghadiri mesyuarat berkaitan urusan perniagaannya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Ketika itu, saya letak kereta di hadapan kedai sendiri di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.

“Namun, semasa hendak ke mesyuarat berkenaan, saya tengok cermin belakang kereta sudah retak teruk,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ujarnya, kejadian itu merupakan pengalaman pertama dan beliau tidak menyangka cermin kenderaan boleh mengalami keretakan serius disebabkan faktor cuaca.

“Ada kemungkinan disebabkan ‘thermal shock’. Mungkin kerana saya membuka penyaman udara (dalam kereta), kemudian cuaca panas menyebabkan cermin boleh retak.

“Selepas ini, mungkin perlu membuka tingkap sedikit supaya tidak terlalu panas di dalam kereta,” ujarnya.

Mengulas mengenai bayaran kerosakan, Abdul Rahman berkata, beliau bernasib baik kerana dapat membuat tuntutan insurans bagi cermin berkenaan.

“Alhamdulillah, saya ada mengambil perlindungan insurans cermin. Pada mulanya saya ingat tidak dilindungi, rupanya selepas membaca komen orang ramai, saya dimaklumkan insurans tersebut meliputi cermin hadapan dan belakang kenderaan.

“Jadi, saya tidak perlu menanggung sebarang kos tambahan. Terima kasih kepada orang ramai yang berkongsi maklumat di ruangan komen,” katanya.