
KOTA KINABALU: Laporan pegawai perubatan yang baru ditempatkan gagal melapor diri di beberapa hospital di Sabah dan Sarawak mencerminkan masalah pembangunan lebih mendalam di kedua-dua negeri itu, kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.
Beliau berkata isu itu bukan sekadar berkaitan kekurangan doktor, sebaliknya mengetengahkan masalah berlarutan melibatkan infrastruktur tidak mencukupi, kekurangan pembiayaan dan kurangnya perhatian berterusan terhadap keperluan Sabah dan Sarawak.
Jeffrey berkata laporan awal menunjukkan tiada pegawai perubatan baharu yang melapor diri di Hospital Keningau, Beluran dan Sipitang di Sabah serta Hospital Kanowit di Sarawak, manakala beberapa kemudahan lain mencatatkan kadar tidak melapor diri antara 70 hingga 76 peratus.
Beliau mengambil maklum penjelasan Kementerian Kesihatan bahawa proses melapor diri masih berlangsung sehingga 7 Okt.
“Soalan asasnya ialah kenapa penempatan di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak masih tidak menarik walaupun terdapat peluang untuk pekerjaan tetap?” soalnya.
Jeffrey berkata keadaan jalan raya yang kurang baik, bekalan air tidak menentu, gangguan elektrik, capaian internet terhad, penginapan tidak mencukupi serta hubungan pengangkutan yang sukar bukan sahaja menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan, malah kehidupan harian mereka yang bekerja dan tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata keadaan sedemikian boleh menyebabkan doktor, guru dan penjawat awam lain enggan menerima atau kekal dalam penempatan di kawasan terpencil.
“Insentif kewangan penting, tetapi elaun sahaja tidak dapat mengimbangi kekurangan berterusan dalam infrastruktur asas dan keadaan kehidupan,” katanya.
Jeffrey berkata Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mesti mengakui tanggungjawab masing-masing serta mengambil langkah segera untuk menangani jurang pembangunan yang telah berlarutan.
Mengenai hak pembangunan Sabah, Jeffrey menggesa kajian menyeluruh terhadap keutamaan pembangunan negara dan pengagihan sumber, termasuk pelaksanaan sepenuhnya hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perkara 112C dibaca bersama Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Jeffrey turut menggesa sokongan kewangan dan praktikal yang lebih baik untuk doktor serta penjawat awam lain yang berkhidmat di lokasi mencabar, termasuk elaun wilayah dan elaun kesusahan yang mencerminkan kos sebenar penempatan mereka.
Beliau berkata bantuan perpindahan perlu meliputi kos sebenar yang munasabah dan disediakan segera, manakala penginapan yang sesuai, sokongan untuk tanggungan yang layak serta perjalanan pulang yang munasabah juga perlu dipertimbangkan.
Dalam kemudahan kesihatan, beliau berkata kekurangan kakitangan dan beban kerja tinggi juga perlu ditangani bagi memastikan kakitangan sedia ada mendapat sokongan sewajarnya dan pesakit menerima rawatan tepat pada masanya.





