
IPOH – Lorong kiri Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Kilometer 263.6 yang ditutup sementara susulan kejadian tanah runtuh semalam, dibuka semula kepada semua jenis kenderaan pada pukul 1 tengah hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, pembukaan semula laluan itu dibuat selepas penilaian teknikal oleh pihak berkaitan mendapati keadaan cerun di lokasi, kira-kira dua kilometer selepas Terowong Menora adalah selamat.
“Pergerakan trafik bagi kedua-dua arah kini dilaporkan lancar,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira pukul 4.30 petang semalam ketika hujan lebat dan melibatkan sebahagian kawasan cerun berhampiran lorong kiri lebuh raya berkenaan.
Susulan kejadian itu, lorong kiri ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembersihan, pemeriksaan dan penilaian keselamatan dilaksanakan.
Tiada kemalangan jiwa, kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan susulan kejadian berkenaan.
Menurut Mohd. Alwi, kerja-kerja baik pulih cerun akan diteruskan pihak berkaitan bagi memastikan kawasan berkenaan kekal selamat.
“Polis Perak menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan, mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan dan mengurangkan kelajuan terutama ketika hujan atau cuaca buruk.
“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini daripada saluran rasmi sebelum memulakan perjalanan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Cerun selamat, laluan berhampiran Terowong Menora dibuka semula appeared first on Kosmo Online.






