POH - Keadaan cerun di Kilometer 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan disahkan selamat, sekali gus membolehkan lorong kiri yang sebelum ini ditutup susulan kejadian tanah runtuh dibuka semula kepada semua kenderaan bermula jam 1 petang pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pembukaan semula itu dibuat selepas penilaian teknikal oleh pihak berkaitan mendapati kawasan cerun berkenaan berada dalam keadaan selamat.
ARTIKEL BERKAITAN: Cerun runtuh: Laluan dibuka semula, PLUS buat penilaian
Menurutnya, kejadian tanah runtuh berlaku kira-kira jam 4.30 petang Jumaat ketika hujan lebat, melibatkan sebahagian cerun berhampiran lorong kiri kira-kira dua kilometer selepas Terowong Menora.
"Susulan kejadian itu, lorong kiri ditutup sementara bagi membolehkan kerja pembersihan, pemeriksaan dan penilaian keselamatan dijalankan.
"Selepas disahkan selamat, laluan tersebut dibuka semula dan aliran trafik di kedua-dua arah kini dilaporkan lancar," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kerja baik pulih cerun akan terus dilaksanakan oleh pihak berkaitan bagi memastikan kawasan berkenaan kekal selamat untuk pengguna lebuh raya.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui lokasi berkenaan, mematuhi papan tanda keselamatan serta mengurangkan kelajuan terutama ketika hujan atau cuaca buruk," katanya.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kejadian cerun runtuh berlaku di Kilometer 263.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dari Terowong Menora menuju Ipoh, mengakibatkan kesesakan trafik sehingga 15 kilometer.






