
CFMOTO terus dilihat sebagai antara jenama China paling serius membina laluan ke puncak sukan permotoran dua roda, namun realitinya, MotoGP masih bukan sasaran jangka pendek. Walaupun peraturan teknikal baharu MotoGP akan bermula pada 2027 dan dijangka membuka ruang kepada kemasukan pengeluar baharu, CFMOTO sendiri memilih pendekatan lebih berhati-hati.
Melalui pendedahan Jorge Martinez, jelas bahawa CFMOTO pernah menilai langkah agresif termasuk percubaan untuk membeli KTM sebelum Bajaj mengambil alih peranan sebagai pemegang saham utama. Ini menunjukkan cita-cita CFMOTO bukan kecil, tetapi turut mendedahkan betapa kompleksnya kemasukan ke MotoGP, bukan sekadar soal jentera, tetapi juga struktur korporat, politik industri dan pelaburan jangka panjang.
Dari sudut sukan, CFMOTO sebenarnya berada di landasan tepat. Kejayaan dalam Moto3 dengan gelaran dunia pelumba dan pengeluar pada 2024, serta kehadiran konsisten dalam Moto2 bersama Aspar, membuktikan mereka memahami proses pembangunan secara berperingkat. Namun MotoGP adalah tahap berbeza, dimana kos, teknologi dan risiko jauh lebih tinggi.
Aspar sendiri menegaskan bahawa kemasukan seawal 2027 hampir mustahil kecuali melalui kerjasama dengan pengeluar sedia ada. Ini selari dengan realiti semasa MotoGP yang semakin eksklusif, di mana pengeluar baharu perlu sama ada “menumpang” struktur sedia ada atau melabur secara besar-besaran dari kosong.
Bagi Aspar Team, sebarang kembali ke MotoGP juga bukan keputusan mudah. Infrastruktur, tenaga kerja dan komitmen kewangan untuk era 2027 dianggap terlalu berisiko buat masa ini. Fokus mereka kekal kepada Moto3 dan Moto2, membangunkan bakat serta jenama bersama CFMOTO.
Kesimpulannya, CFMOTO memang bercita-cita ke MotoGP, tetapi bukan tergesa-gesa. Laluan yang dipilih adalah sabar, penuh strategik dan berperingkat, satu pendekatan yang mungkin lebih realistik dalam landskap MotoGP moden.
Teruskan bersama Two Wheels..!

