CGS-CIMB jangka separuh kedua 2023 tempoh sangat sibuk buat HSS Engineers
azan
18/08/2023 - 11:42
KUALA LUMPUR 18 Ogos - HSS Engineers Berhad dijangka berdepan masa yang sangat sibuk pada separuh kedua tahun ini dan kesannya akan membawa kepada 2024.
CGS-CIMB Research berkata, keadaan itu didorong oleh proses penggabungan dan pengambilalihan (M&A) pada skala sederhana.
Katanya, projek terbesarnya adalah merangkumi skop perundingan pengurusan (PMC) projek MRT 3 bernilai RM1 bilion dan segala rundingan sedang berjalan dengan baik.
"Segmen PMC menyumbang 75% daripada kadar tempahan keseluruhan bernilai RM1.4 bilion sehingga Jun 2023.
"Sehingga kini, tender kumpulan itu berada pada paras RM415 juta dengan rekod kemenangan 50% sebelum ini termasuk projek Jejak Berkembar Lembah Klang 2, projek Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, gudang perindustrian dan projek luar negara.
"Lebih banyak projek pada masa hadapan yang tidak berada dalam buku tender mereka termasuk projek Westports 2, projek Terminal Persiaran Pelabuhan Klang, Fasa 1B (19 pakej) Pan Borneo Sabah, LRT Johor dan Pulau Pinang serta kerja-kerja tebatan banjir," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, HSS telah mengambil langkah kecil untuk menembusi ruang tenaga boleh diperbaharui (RE) dan menjadi lebih mematuhi ESG.
Katanya, sebuah konsortium yang terdiri daripada HSS, Shizen Malaysia, Solarvest dan Aziho Trading adalah salah satu daripada 22 penerima Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) dengan peruntukan 29.99MW untuk loji solar fotovoltaik di Kedah.
"Pegangan HSS ialah 10% dalam konsortium dan ia akan menyediakan reka bentuk dan projek kejuruteraan perkhidmatan pengurusan untuk ini," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran 80 sen sesaham.- DagangNews.com


