Pendapatan CJ Century pada 2H23 dijangka meningkat didorong lonjakan permintaan penghawa dingin di seluruh dunia – TA Securities
diyana
18/08/2023 - 11:55
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Pendapatan CJ Century Logistics Holdings Bhd (CJ Century) pada separuh kedua 2023 (2H23) dijangka lebih tinggi berikutan permintaan untuk penghawa dingin meningkat di seluruh dunia dan kadar pengangkutan kontena beransur-ansur pulih, kata TA Securities.
“Segmen perkhidmatan logistik perolehan (PLS) dijangka kekal teguh disokong oleh permintaan penghawa dingin yang meningkat semula di seluruh dunia akibat gelombang haba.
“Selain itu, pembukaan semula China sepenuhnya akan memastikan bekalan komponen elektrik dan elektronik (E&E) konsisten, yang penting untuk pemasangan E&E syarikat itu di Malaysia.
“Oleh itu, kami mengekalkan andaian pertumbuhan 3% bagi kedua-dua unit pemasangan dan unit eksport pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23),” kata firma tersebut dalam nota penyelidikan.
Sementara itu, bagi segmen penyelesaian logistik keseluruhan (TLS), TA Securities menjangkakan ia menghadapi cabaran memandangkan prospek perdagangan global suram, terutamanya dengan kelembapan dagangan Korea Selatan.
Menurut firma penyelidikan itu, kesannya akan meningkat didorong oleh normalisasi kadar pengangkutan global.
“Menurut statistik Bank Negara, jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan menguncup 7% tahun ke tahun (YoY) pada suku kedua tahun ini kepada RM27.2 bilion.
“Sementara itu, kadar pengangkutan global (indeks pengangkutan global) untuk kontena 40 kaki berlegar sekitar AS$1,533 pada Ogos selepas ia melalui paras terendah A$1,270 pada Julai. Ia telah pulih sepenuhnya sekarang berbanding harga setinggi AS$9,600 pada Januari 2022,” ujarnya susulan keputusan suku kedua CJ Century semalam.
Mengulas tentang keuntungan CJ Century sebanyak RM6.9 juta bagi separuh pertama 2023, TA Securities berkata ia merangkumi 40% daripada unjuran tahun penuh firma dan 31.5% daripada ramalan konsensus.
Jelasnya, keuntungan kumpulan itu menguncup 58% tahun ke tahun (YoY) akibat segmen TKS hambar, mengimbangi pendapatan segmen PLS yang telah meningkat 38%, didorong oleh eksport E&E.
Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan CJ Century bagi FY23-25 dan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) 76 sen sesaham.
Setakat pukul 11:49 pagi ini, saham CJ Century didagang rendah pada 41.5 sen, susut 1.5 sen atau 3.5% dengan permodalan pasarannya berjumlah RM246.6 juta. - DagangNews.com

