CGS International jangka pertumbuhan pendapatan 7-Eleven Malaysia perlahan, penarafan diturunkan kepada ‘kurangkan’

LocalBusiness & Finance
7 Jan 2026 • 2:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

CGS International jangka pertumbuhan pendapatan 7-Eleven Malaysia perlahan, penarafan diturunkan kepada ‘kurangkan’ image is not available haziq07/01/2026 - 14:36 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Jan – Pertumbuhan pendapatan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd dijangka perlahan dalam tempoh tiga tahun akan datang susulan tekanan kos yang semakin meningkat, menurut CGS International.

 

Dalam satu nota penyelidikan, CGS International menurunkan saranan ke atas saham 7-Eleven Malaysia kepada ‘kurangkan’ daripada ‘pegang’, dengan mengambil kira rancangan kumpulan itu untuk menaik taraf 200 kedai klasik kepada format 7Café serta menambah 100 cawangan baharu sepanjang 2026 hingga 2028.

 

Menurut firma itu, langkah pengembangan berkenaan akan meningkatkan kos jualan dan pengedaran, selain caj susut nilai yang lebih tinggi, sekali gus menekan keuntungan.

 

“Kami berpendapat pasaran masih belum mengambil kira sepenuhnya kelembapan trajektori pertumbuhan pendapatan syarikat,” katanya.

 

Susulan penurunan penarafan itu, 7-Eleven Malaysia kini menerima saranan ‘jual’ secara sebulat suara daripada ketiga-tiga firma penyelidikan yang meliputi saham tersebut. 

 

Harga sahamnya juga hampir tidak berubah sepanjang 2025 walaupun pengendali kedai serbaneka itu berdepan persaingan sengit daripada pesaing seperti FamilyMart dari Jepun.

 

Pasaran tempatan turut menyaksikan kemasukan lebih banyak pesaing baharu, termasuk CU dan emart24 dari Korea Selatan serta jenama tempatan seperti Mix Store dan BilaBila Mart. 

 

Dalam masa sama, hasil per kedai suku tahunan 7-Eleven Malaysia didapati secara konsisten ketinggalan berbanding MyNews Holdings Bhd.

 

CGS International berkata usaha kumpulan itu untuk memperluaskan rangkaian 7Café, yang mencatatkan 50% jualan lebih tinggi berbanding kedai klasik, dilihat sebagai langkah untuk merapatkan jurang hasil per kedai dengan pesaing.

 

Bagaimanapun, firma itu menegaskan walaupun peluasan yang lebih pantas mampu meningkatkan hasil, peningkatan kos operasi dan susut nilai akan menjadi beban ketara kepada pendapatan teras dan aliran tunai bebas, memandangkan format kedai baharu memerlukan masa untuk mencapai tahap operasi optimum.

 

Dari segi penilaian, CGS International turut menyifatkan saham 7-Eleven Malaysia sebagai masih mahal, dengan penilaian sekitar 40 kali pendapatan unjuran bagi tahun ini, jauh lebih tinggi berbanding purata penilaian pesaing pada 14 hingga 22 kali. - DagangNews.com

Terkini standard