Econpile peroleh subkontrak RM39 juta kerja asas projek komersial di Kuala Lumpur daripada WCT

LocalBusiness & Finance
29 Jul 2026 • 5:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Econpile peroleh subkontrak RM39 juta kerja asas projek komersial di Kuala Lumpur daripada WCT Image from: Econpile peroleh subkontrak RM39 juta kerja asas projek komersial di Kuala Lumpur daripada WCT amree29/07/2026 - 17:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 JulaiEconpile Holdings Berhad terus mengukuhkan momentum perniagaannya apabila memperoleh subkontrak terbaharu yang bernilai RM39.52 juta daripada WCT Construction Sdn Bhd.

 

Menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, tender itu bagi kerja-kerja tanah, cerucuk silinder dan substruktur untuk projek pembangunan komersial di Jalan Awan Besar, Kuala Lumpur.

 

Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027, sekali gus mengukuhkan prospek hasil bagi kerja asas pembinaan.

 

"Anak syarikat milik penuh kumpulan, Econpile (M) Sdn Bhd, menerima surat penganugerahan tender itu yang bertarikh 22 Julai 2026 daripada WCT Construction pada 28 Julai 2026," jelas Econpile lagi.

 

Skop tugasan ujarnya, melibatkan kerja tanah, dan pembinaan substruktur bagi cadangan pembangunan komersial yang merangkumi empat blok rumah kedai komersial lima tingkat dengan sejumlah 68 unit.

 

Econpile_DagangNews2026

 

Projek itu turut melibatkan pembinaan dua aras tempat letak kereta bawah tanah, sebuah unit komersial, sebuah stesen suis utama dan sebuah ruang pengumpulan sampah di aras bawah tanah kedua.

 

Pembangunan tersebut kata Econpile, bakal dilaksanakan di Plot K1-1A, Jalan Awan Besar, Mukim Petaling, Kuala Lumpur, dengan tempoh pembinaan selama 15 bulan bermula pada 29 Julai 2026.

 

"Kumpulan berpandangan yang subkontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan projek tersebut," tambah syarikat itu.

 

Pada masa sama, ia menjelaskan tiada sebarang risiko ketara dijangka menjejaskan pelaksanaan projek berkenaan selain daripada risiko operasi biasa yang kelaziman terdapat dalam industri pembinaan.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan Econpile akan melaksanakan langkah kawalan serta prosedur operasi sewajarnya bagi mengurangkan kemungkinan dan impak akibat daripada risiko sepanjang tempoh kontrak.

 

Ia turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tender tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved