OpenAI kini memperkenalkan antaramuka baharu untuk pengguna ChatGPT, dinamakan sebagai Canvas. Melaluinya, ia membahagikan antaramuka kepada dua bahagian, dimana anda boleh menulis atau mengaturcara pada bahagian kanan, dan bertanyakan pada sokongan ChatGPT pada bahagian kiri laman.

Dengan langkah ini, anda boleh melakukan karangan atau menulis kod pengaturcaraan dan bertanyakan pada kecerdasan buatan janaan dengan mudah tanpa perlu bertukar-tukar tetingkap. Ini turut membawa kepada hasil produktiviti lebih pantas berbanding kebiasaan. Penyuntingan juga boleh dilakukan pada hasil akhir, termasuk meminta model ChatGPT menyesuaikan hasil akhir mengikut golongan pembaca sasaran, dan sebagainya.
Ciri baharu ini mula diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna ChatGPT Plus terlebih dahulu. Bagi anda yang menggunakan ChatGPT Plus, boleh mengakses Canvas ini melalui menu pilihan model kecerdasan buatan pada bahagian atas.
