
KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial dan pelakon, Chazynash tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya sebelum ini berkaitan isu tuntutan muta’ah yang mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Menerusi satu hantaran di Threads, Chazynash atau nama sebenarnya Syed Fernarsh Syed Badlishah menjelaskan bahawa keputusan berkaitan pemberian muta’ah itu bukan dibuat melalui proses mahkamah, sebaliknya hasil persetujuan bersama secara baik antara dirinya dan bekas isteri, Fatin Morat.
Menurutnya, persetujuan tersebut dicapai ketika itu dengan niat untuk menyelesaikan urusan secara damai tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang serta memenatkan.
“Untuk penjelasan, keputusan pemberian muta’ah tersebut bukan dibuat melalui proses mahkamah, sebaliknya atas persetujuan bersama secara baik antara kami pada ketika itu.
“Dia bersetuju selagi saya tidak culas dalam memberikan nafkah kepada anak-anak. Ia dibuat dengan niat untuk menyelesaikan perkara secara damai tanpa memanjangkan urusan dan keletihan berulang-alik ke mahkamah,” jelasnya.
Akui Kelemahan Diri, Rayu Henti Kecaman
Walau bagaimanapun, Chazynash mengakui bahawa cara dan bentuk persetujuan tersebut merupakan satu kelemahan daripada pihaknya sendiri kerana ia tidak berjalan seperti yang diharapkan.
Dalam hantaran sama, Chazynash turut merayu agar orang ramai berhenti mengecam dirinya serta bekas isterinya berhubung isu berkenaan.
“Saya mohon, janganlah kecam saya atau dia dalam hal ini. Saya pun sudah reda dengan apa yang telah berlaku.
“Duit hadiah atau muta’ah tersebut juga saya tidak jadi tuntut semula,” katanya.
Chazynash turut menzahirkan doa agar bekas isterinya sentiasa berada dalam keadaan baik, selain menyatakan hasrat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang bersama isteri dan anak-anaknya.
“Saya mendoakan agar dia sentiasa berada dalam keadaan yang baik-baik saja. Kini, saya hanya ingin meneruskan kehidupan dengan tenang bersama isteri dan anak-anak.
“Sekali lagi, saya mohon maaf dan terima kasih atas teguran serta nasihat yang diberikan,” tambahnya.
Sebelum ini, Chazynash mencetuskan kontroversi apabila membuat keputusan untuk menarik balik pemberian muta’ah berjumlah RM100,000 terhadap Fatin selepas mendakwa bekas isterinya menuntut harta sepencarian.
Malah, kenyataan terdahulu Chazynash yang menyifatkan Fatin sebagai tamak turut menerima kecaman hebat daripada netizen, sehingga mendorongnya tampil membuat penjelasan dan permohonan maaf secara terbuka. – The Malaysian Update
The post Chazynash Mohon Maaf, Jelaskan Isu Muta’ah Dibuat Atas Persetujuan Bersama appeared first on The Malaysian Update.


