Cheeding Holding peroleh kontrak naik taraf infrastruktur TNB di Pahang bernilai RM13.54 juta

LocalBusiness & Finance
10 Dec 2025 • 5:48 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cheeding Holding peroleh kontrak naik taraf infrastruktur TNB di Pahang bernilai RM13.54 juta
image is not available
haziq10/12/2025 - 17:48 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Dis – Cheeding Holding Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Pembinaan Bukit Cheeding Sdn Bhd (PBCSB) bersama rakan usaha sama Orasko Sdn Bhd (OSB) meraih kontrak daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM13,543,090.00, bagi kerja-kerja naik taraf infrastruktur elektrik di Pahang.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cheeding berkata PBCSB dan OSB menerusi satu usaha sama tidak diperbadankan telah menerima surat setuju terima (LOA) bertarikh 9 Disember 2025 daripada TNB bagi projek “PMU 132/11kV Genting Sempah, Pahang – Extension of 2x132kV OHL Bays and 132kV Overhead Line (OHL) Termination”.

 

Di bawah perjanjian usaha sama itu, PBCSB memegang 60% pegangan manakala OSB 40%, dengan kedua-dua pihak bertanggungjawab secara bersama dan berasingan terhadap pelaksanaan dan penyiapan keseluruhan projek.

 

Cheeding berkata kontrak tersebut merangkumi pembongkaran peralatan utama sedia ada 132kV, pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan peralatan utama baharu berserta struktur keluli baharu.

 

Skop kerja turut melibatkan pembinaan serta pengubahsuaian plinth dan kerja-kerja awam berkaitan, penyiapan sistem sekunder termasuk di hujung jauh (remote end), serta pemasangan gantri aras rendah dan tiang keluli baharu bersama asas, termasuk semua kerja ujian dan pentauliahan.

 

Kontrak itu berkuat kuasa mulai 9 Disember 2025 dan perlu disiapkan dalam tempoh 540 hari daripada tarikh mula kerja yang akan ditetapkan kelak. Tempoh notifikasi kecacatan (DNP) pula ditetapkan selama 365 hari.

 

Menurut Cheeding, usaha sama itu dikehendaki mengemukakan jaminan prestasi dalam tempoh 56 hari dari 9 Disember 2025, selain mendapatkan perlindungan insurans berkaitan termasuk insurans semua risiko pembinaan/pemasangan, pampasan pekerja, insurans kargo marin, liabiliti awam serta indemniti professional sebelum kontrak bermula.

 

Cheeding berkata LOA tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan masa depan, pendapatan sesaham serta aset bersih sesaham syarikat sepanjang tempoh kontrak, tanpa memberi kesan kepada modal saham dan pegangan pemegang saham utama syarikat.

 

Lembaga pengarah Cheeding turut memaklumkan tiada risiko luar biasa dikenal pasti selain risiko operasi biasa, dan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak tersebut.

 

“Lembaga pengarah berpandangan penerimaan LOA ini adalah dalam kepentingan terbaik syarikat,” kata Cheeding dalam makluman itu. - DagangNews.com

Terkini standard