Chegubard akan dedah penyelewengan babit pemimpin tertinggi kementerian, pusat zakat

LocalPolitics
27 Jan 2026 • 1:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
image is not available
Badrul Hisham (tengah) hadir ke Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard akan mendedahkan penyelewengan yang didakwa melibatkan pimpinan tertinggi sebuah kementerian serta pusat zakat di sebuah negeri.

Chegubard berkata, pihaknya kini mempunyai beberapa data dan maklumat berkaitan dakwaan berkenaan yang disifatkan penting untuk siasatan lanjut.

"Saya akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada jam 3 petang, Rabu bagi memberikan keterangan lanjut kepada pihak berkuasa.

"Saya akan dedahkan satu demi satu dengan milikan harta pimpinan kementerian dan pusat zakat berkenaan," katanya ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa.

**media[3414590]**

Beliau bersama peguam Muhammad Rafique Rashid Ali sebelum itu, hadir ke mahkamah bagi pendengaran semakan jenayah membabitkan kes melibatkan permohonan Pendakwa Raya untuk menyemak semula keputusan Hakim Mahkamah Sesyen.

Mahkamah Sesyen sebelum ini, membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya diberikan satu salinan rakaman percakapan polis milik wartawan Bloomberg, Ram Anand berkaitan siasatan kes kasino di Forest City yang menjadi antara isu utama dalam perbicaraan berkenaan.

Dalam pada itu, Chegubard turut mendakwa dirinya berdepan pelbagai bentuk intimidasi termasuk laporan polis susulan pendedahan yang dibuat sebelum ini berkaitan dakwaan rasuah melibatkan pegawai kanan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya bukan penguat kuasa, tetapi pendedahan ini dibuat untuk memastikan tindakan diambil.

"Jika tiada tekanan awam, saya bimbang isu rasuah dan salah guna kuasa ini akan terus terkubur,” katanya.

Ditanya mengenai sebarang surat tuntutan atau Letter of Demand (LOD) berkaitan pendedahan terdahulu, Chegubard menegaskan beliau masih belum menerimanya.

“Saya difahamkan terdapat dakwaan bahawa beberapa pihak mungkin telah memfailkan saman atau LOD.

"Namun, sehingga kini saya belum menerima sebarang LOD. Sekiranya ada, pihak berkenaan boleh memaklumkan kepada pejabat peguam saya atau saya boleh hadir sendiri untuk menerimanya,” katanya.