
KUALA LUMPUR - Selepas mencetuskan kontroversi menerusi pendedahan berani mengenai rasuah perolehan Angkatan Tentera Malaysia, nama aktivis Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard sekali lagi menjadi sebutan.
Kali ini susulan laporan polis yang dibuat ke atasnya oleh sebuah syarikat swasta,
Laporan berkenaan yang dibuat di Shah Alam hari ini antara lain mendakwa Chegubard membuat kenyataan tidak tepat dan berunsur fitnah.
Berdasarkan salinan laporan yang diperoleh Getaran, syarikat terbabit, Arus Juta Sdn Bhd mendakwa, kenyataan itu dibuat Chegubard menerusi hantaran di Facebook dan Episod 44 podcast yang dikendalikannya, dikenali sebagai Khabarnya.
Menurut Arus Juta, Chegubard telah menyebarkan maklumat palsu dan berunsur fitnah, selain mendedahkan dokumen serta maklumat sulit.
Pendedahan itu didakwa boleh menjejaskan kepentingan syarikat dan mengancam keselamatan negara.
Berdasarkan laporan, Chegubard pada 13 Januari lalu sekitar jam 10 pagi telah memuat naik satu hantaran bertanda pagar #OpsHiroshima yang mengandungi dakwaan bahawa Arus Juta terlibat dalam proses tender secara tidak sah.
Arus Juta juga dakwanya, terbabit dalam manipulasi dokumen serta menawarkan produk yang tidak wujud dan tidak menepati spesifikasi.
“Individu berkenaan juga didakwa telah membuat kenyataan yang tidak tepat dan berunsur fitnah menerusi podcastnya,” menurut laporan itu.
Arus Juta turut mendakwa, sebahagian dokumen dan maklumat yang didedahkan mengandungi perincian teknikal sensitif berkaitan aset pertahanan negara.
“Maklumat dan dokumen seperti ini tidak sepatutnya berada dalam pegangan orang awam,” menurut laporan berkenaan.
Syarikat itu memaklumkan bahawa tindakan Chegubard berkemungkinan melibatkan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Arus Juta menggesa pihak polis menjalankan siasatan terperinci, termasuk mengenal pasti sumber kebocoran dokumen sulit terbabit.
Menurut syarikat berkenaan, laporan polis tersebut dibuat bagi melindungi kepentingan dan reputasi syarikat, selain menjaga keselamatan negara. - Getaran, 15 Januari 2026
