
PETALING JAYA: Selepas mengharungi dua aksi awal dengan keputusan sempurna, Harimau Malaya bakal berdepan ujian paling mencabar apabila turun menentang Thailand dalam aksi ketiga Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Bangkok, malam ini.
Pertemuan dengan juara tradisi Asia Tenggara itu bukan sekadar perebutan tiga mata, sebaliknya menjadi medan penting buat pengendali sementara skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menilai tahap sebenar pasukannya ketika berdepan lawan berprofil tinggi.
Malaysia kini berada dalam momentum positif selepas mencatat kemenangan ke atas Myanmar 2-1 di Yangon sebelum meneruskan rentak cemerlang dengan membelasah Laos 4-0 di laman sendiri.
Dua kemenangan itu meletakkan Harimau Malaya di landasan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya, namun Cheng Hoe sedar cabaran sebenar hanya bermula apabila mereka berdepan Thailand yang sentiasa menjadi antara kuasa utama bola sepak rantau ini.
Menariknya, Malaysia mempunyai kenangan manis menentang Gajah Perang apabila kali terakhir berjaya menewaskan Thailand dalam aksi kompetitif adalah pada separuh akhir Piala AFF 2023 ketika skuad negara dikendalikan Kim Pan Gon.
Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu anak buahnya terlalu dibuai rekod lalu atau hanya memikirkan soal kemenangan, sebaliknya mahu pemain memberikan aksi terbaik bagi meningkatkan keyakinan pasukan.
“Kemenangan bukan perkara utama yang saya tekankan. Apa yang lebih penting ialah setiap pemain dapat mempamerkan prestasi terbaik, membina keyakinan dan mendapatkan momentum.
“Kita sedar Thailand adalah pasukan pilihan dalam kumpulan ini. Jadi pemain perlu kekal fokus, di samping terus meningkatkan tahap kecergasan kerana ramai daripada mereka masih belum berada pada tahap terbaik selepas tempoh pramusim,” katanya.
Menurut Cheng Hoe, pertemuan di Bangkok menjadi peluang terbaik untuk menguji sejauh mana kemampuan skuad negara, terutama apabila beberapa pemain muda diberi kepercayaan bergandingan bersama tonggak lebih berpengalaman.
“Perlawanan ini adalah ujian sebenar buat pasukan. Saya lebih melihatnya sebagai peluang untuk menilai kekuatan sebenar skuad berbanding hanya mengejar kemenangan.
“Apa juga keputusan yang diperoleh nanti, saya boleh menerimanya kerana ini adalah pengalaman yang sangat berguna kepada pemain muda dan juga mereka yang digandingkan dengan pemain senior.
“Sudah tentu kita tetap mengharapkan keputusan positif yang membolehkan kita melangkah ke pusingan seterusnya,” katanya.
Mengulas mengenai tekanan beraksi di Stadium Rajamangala, Cheng Hoe mengakui faktor gelanggang sendiri memberikan kelebihan kepada Thailand, namun percaya pemain Malaysia mampu menghadapi cabaran itu dengan persediaan mental yang tepat.-UTUSAN
The post Misi Harimau Malaya benam skuad Gajah Perang appeared first on Utusan Malaysia.






