
PETALING JAYA: Dua pelumba muda negara, Qayyim Razin Razali dan Qabil Irfan Azlan sekali lagi menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC), apabila mendominasi kedudukan juara serta tempat ketiga pada Perlumbaan 2, pusingan kedua Kejuaraan Moto4 Piala Asia, semalam.
Qayyim Razin meneruskan aksi konsisten apabila menjuarai Perlumbaan 2 dengan catatan masa terpantas 25 minit 22.046 saat (s), manakala, Qabil Irfan sekali lagi terpaksa berpuas hati dengan kedudukan ketiga menerusi lakaran masa 25:22.152s.
Pelumba Jepun, Waku Kunitate muncul sebagai naib juara dengan catatan masa 25:22.055s dalam perlumbaan 11 pusingan itu.
Qabil Irfan dan Qayyim Razin kini masing-masing berada di kedudukan ketiga (62 mata) serta keempat (50 mata) dalam senarai keseluruhan pelumba Moto4 Piala Asia selepas empat perlumbaan daripada dua pusingan.
Hayato Chishiki dari Jepun dan rakan senegaranya, Kunitate mengungguli kedudukan pertama (70 mata) serta kedua (64 mata) dalam senarai tersebut.
Pengarah ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, dia sama sekali tidak menduga Qayyim Razin mampu menjuarai kedua-dua perlumbaan dalam pusingan kedua di Sepang.
“Secara keseluruhan, ini satu keputusan yang baik dan saya tak menjangka Qayyim akan mempamerkan prestasi cemerlang minggu ini.
“Ini satu keajaiban buat Qayyim kerana tidak mudah untuk menang dalam kedua-dua perlumbaan, manakala, buat Qabil, saya tahu dia hendak sangat menang di Sepang, cuma belum rezeki dia lagi,” katanya sewaktu ditemu bual, semalam.
Menurut beliau, kali terakhir pelumba Malaysia mendominasi kedudukan juara dalam dua perlumbaan pada pusingan sama hanya berjaya dilakukan oleh pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli.
Zulfahmi berharap, kedua-dua pelumba tersebut akan terus kekal konsisten kerana selepas ini mereka bakal mengharungi perlumbaan secara berturut-turut di Litar Motegi, Jepun (3-4 Oktober) dan Litar Mandalika, Indonesia (10-11 Oktober).-UTUSAN
The post Moto4: Qayyim juara lagi, Qabil ketiga di Sepang appeared first on Utusan Malaysia.






