China Akan Mewajibkan Pintu Boleh Dibuka Secara Manual Di Dalam Dan Luar Kenderaan

Cars
14 Oct 2025 • 11:09 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kenderaan model khususnya EV dilengkapi pintu automatik yang menggunakan kuasa elektrik. Banyak EV di pasaran Malaysia mempunyai pintu tanpa pemegang dengan ia dibuka menggunakan butang. Tetapi pihak berkuasa China ingin mewajibkan pintu dilengkapi sistem mekanikal di bahagian dalam dan luar kenderaan bagi tujuan kecemasan. Pintu juga perlu mempunyai pemegang yang boleh ditarik dan bukan dari jenis tersorok (bagi tujuan aerodinamik) seperti yang popular digunakan sekarang.

image is not available

Apa yang berlaku dalam kemalangan EV ialah kuasa terputus dan penumpang terperangkap di dalam kenderaan. Sistem mekanikal yang disertakan kerap kali tersorok dan dalam keadaan panik sudah wujud beberapa kes penumpang mati terbakar. Pintu elektrik juga tidak membenarkan orang di luar membuka pintu.

Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat China akan memperhalusi keperluan pintu mekanikal pada semua kenderaan pada bulan November. Jika cadangan diluluskan, semua kenderaan baharu di China perlu menyertakan ciri ini menjelang pertengahan 2027.

China ialah pasaran EV terbesar dunia pada ketika arahan kerajaan akan membawa perubahan besar pada rekaan kenderaan dalam masa terdekat. Untuk terus dipasarkan di China, pengeluar lain seperti Tesla dan Hyundai perlu akur dengan keperluan pihak berkuasa tempatan.