
KATHMANDU: China pada Jumaat menghentikan sementara operasi mencari dan menyelamat di Tibet susulan risiko tinggi berlakunya banjir susulan, ketika ratusan orang masih hilang dua hari selepas tanah runtuh maut melanda kawasan sempadan China-Nepal.
Penyiar negara, CCTV, melaporkan sebuah tasik terbentuk akibat timbunan besar lumpur dan puing selepas kejadian tanah runtuh di sempadan berkenaan kini mula melimpah ke arah kawasan yang menjadi tumpuan pasukan penyelamat.
“Semua pasukan penyelamat diarahkan kekal di lokasi dan menunggu arahan selanjutnya,” menurut laporan itu.
Pasukan kecemasan yang sebelum ini berjaya memasuki kawasan berkenaan turut diarahkan berundur sejauh satu kilometer dari lokasi.
Tasik berkenaan terbentuk selepas dinding lumpur dan puing melanda pusat sempadan Gyirong di Tibet pada Rabu, menyebabkan ratusan orang dilaporkan hilang.
CCTV melaporkan paras air tasik dijangka terus meningkat dalam tempoh tiga hari akan datang susulan hujan berterusan dan dijangka memuncak sekitar 1 September.
Agensi berita Xinhua melaporkan keadaan itu meningkatkan risiko tasik berkenaan pecah dan melepaskan gelombang banjir ke kawasan hilir.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan kemusnahan lebih besar, termasuk di Pelabuhan Gyirong dan kawasan lain di sepanjang laluan hilir, menurut laporan Xinhua pada lewat Khamis.
Pasukan kejuruteraan kecemasan kini memantau perkembangan paras air tasik berkenaan secara rapi, menurut CCTV.
Setakat Jumaat, seramai 499 warga China dan 555 warga asing dipindahkan keluar dari zon bencana, lapor CCTV.
Pasukan penyelamat masih berusaha mengesan mangsa yang hilang menggunakan dron yang dilengkapi teknologi pemodelan tiga dimensi dan pengesanan imej terma.
Pencarian turut dilakukan secara manual di kawasan yang dipercayai masih mempunyai mangsa terperangkap.
Operasi menyelamat bagaimanapun ditangguhkan sementara bagi mengurangkan risiko kepada anggota yang berada di lapangan.
Pihak berkuasa akan menentukan langkah seterusnya berdasarkan perkembangan paras air dan keadaan di sekitar tasik berkenaan.- AFP
The post China hentikan operasi menyelamat di Tibet susulan risiko banjir appeared first on Utusan Malaysia.




