Apabila membaca mengenai bagaimana China dalam tempoh dua generasi sahaja sudah berjaya menjadi kuasa besar dunia robotik, bateri dan EV, perubahan besar yang dilakukan dalam sektor pendidikan adalah antara faktor yang diberikan. Lebih 20 tahun lalu, China meningkatkan tumpuan kepada STEM dengan pelajar terbaik dikerah menyertai program matematik, kejuruteraan dan sains berbanding dunia yang pada waktu tersebut mengejar industri IT. Hasilnya dua tahun lalu, hampir separuh penyelidik kecerdasan buatan (AI) terbaik dunia berasal daripada China.
Bagi menghadapi pula era AI, China memotong lebih 12,200 program ijazah di universiti antara 2021-2025 menurut laporan South China Morning Post. Kemudian lebih 10,00 program baharu diperkenalkan bagi menyusun semula sistem pendidikan bagi memenuhi keperluan AI, robotik, semikonduktor, pembuatan teknologi canggih, teknologi digital dan data raya.

Akibatnya program yang dianggap tidak lagi relevan kepada pasaran kerja masa depan seperti seni, kemanusiaan, bahasa asing dan pengurusan telah dipotong. China melihat pasaran kerja 20 tahun akan datang sangat berbeza daripada struktur universiti tradisional yang digunakan sekarang.
Sedang negara lain masih berdebat tentang kesan penggunaan AI, tetapi China sudah mula melatih jutaan pelajar untuk bidang baharu dengan ia telah dimasukkan ke dalam silibus persekolahan. Pemahaman mengenai AI akan dimasukkan dalam peperiksaan kelayakan guru. Guru masa depan China perlu memahami dan menggunakan AI sebagai sebahagian daripada proses mendapatkan pensijilan kelayakan menjadi guru.
Dalam pelan pendidikan China, AI akan digunakan untuk menyokong keseluruhan proses pengajaran
seperti pengurusan tugasan, pemarkahan automatik, menjawab soalan pelajar, dan tutor berasaskan AI. Selain itu AI akan menilai gaya dan keberkesanan pengajaran untuk membantu guru meningkatkan kualiti penyampaian.
Percaturan China sebelum ini nyata tepat dan mereka kini menjadi kuasa besar teknologi serta pengeluaran dunia. Hanya masa boleh menentukan sama ada percaturan baharu dengan penekanan terhadap AI akan membuahkan hasil yang sama di masa hadapan.


