KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berjaya menamatkan Larian Solidariti Bersama Dara, Amoi dan Kelat (DAK) bagi menyerahkan memorandum berkaitan tanggungjawab dan kebajikan Malaysia terhadap tiga gajah itu kepada Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong.
Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama DAK itu tiba di pintu masuk utama bangunan Parlimen pada jam 9 pagi selepas menamatkan misi larian solon sejauh 290 kilometer (km) selama merentasi tiga negeri sebagai simbol solidariti memperjuangkan nasib DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun.
Choo Seong berkata, memorandum itu diserahkan kepada Ka Siong untuk dibawa dalam sidang Dewan Rakyat selain menggesa Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memberi penjelasan menyeluruh kepada rakyat.
**media[3558646]**
"KPKT perlu memberi penjelasan bagaimana tiga ekor gajah liar yang diselamatkan dari hutan dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, akhirnya berada di sebuah zoo di Jepun.
"Ini bercanggah dengan undang-undang antarabangsa yang di mana tidak membenarkan haiwan liar diperdagangkan dan diletakkan dalam kurungan.
"Sepatutnya KPKT dan NRES ada tanggungjawab untuk memberi penjelasan bagaimana perkara ini boleh diluluskan kepada tiga gajah milik Malaysia," katanya ketika ditemui selepas menamatkan Larian Solidariti Bersama DAK di luar Parlimen di sini pada Isnin.
**media[3558644]**
Dalam pada itu Choo Seong menegaskan, Sekretariat Solidariti Bersama DAK juga menggesa pihak terbabit bertindak dalam tempoh tujuh hari terhadap lima perkara yang dituntut dalam memorandum berkenaan.
Ia melibatkan penubuhan pasukan bertindak khas kebangsaan yang bertanggungjawab memantau, menilai dan mengemukakan syor rasmi berkaitan kebajikan DAK.
Selain itu kerajaan digesa untuk menghantar satu delegasi bebas terdiri daripada pakar veterinar, pakar tingkah laku gajah dan wakil pihak berkuasa berkaitan ke Zoo Tennoji bagi menjalankan pemeriksaan menyeluruh dengan laporan penuh hasil penilaian diumum secara terbuka demi ketelusan dan keyakinan awam.
Sekretariat turut menuntut kandungan utama perjanjian pemindahan DAK didedahkan kepada umum kerana masyarakat mempunyai hak untuk mengetahui bentuk perlindungan yang diberikan terhadap haiwan-haiwan tersebut.
**media[3558645]**
"Kerajaan disaran menyemak semula dasar pemindahan hidupan liar ke luar negara serta memperkukuhkan Akta Pemuliharaan Haiwan Liar 2022 (Wildlife Conservation Act 2022) agar lebih selari dengan piawaian kebajikan haiwan antarabangsa dan komitmen Malaysia di bawah Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES).
"Kerajaan juga perlu menyediakan pelan kontingensi dan kesiapsiagaan bagi membawa pulang DAK sekiranya penilaian bebas mendapati kebajikan haiwan itu tidak mencapai standard sewajarnya," katanya.






