Politik antara punca perpecahan masyarakat - Yuneswaran

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 4:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Politik antara punca perpecahan masyarakat - Yuneswaran
Yuneswaran. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB
Image from: Politik antara punca perpecahan masyarakat - Yuneswaran
Yuneswaran (dua dari kiri) beramah mesra bersama pengamal media pada majlis bersama media yang diadakan pada Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Polarisasi politik dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada perpecahan dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj.

Beliau berkata, selain perbezaan dasar dan ideologi politik, kewujudan pelbagai parti politik turut mewujudkan kelompok penyokong tegar yang boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan berlakunya polarisasi pengundi dan polarisasi politik yang memberi kesan kepada hubungan antara rakyat.

"Kenapa rakyat berpecah? Bukan sahaja disebabkan dasar ataupun apa sahaja, termasuklah parti politik juga menjadi punca utama wujudnya kelompok-kelompok dan puak-puak di bawah menjadi penyokong tegar yang menjadikan perpecahan itu berlaku.

"Kita ada banyak parti politik dalam kerajaan. Bukan begitu mudah kerana setiap parti mempunyai ideologi dan prinsip yang berbeza," katanya ketika berucap pada program bersama media di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada Isnin.

**media[3559024]**

Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata, cabaran perpaduan negara tidak hanya tertumpu kepada hubungan antara kaum, malah turut melibatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan masyarakat.

Jelasnya, jurang pendapatan, peluang pekerjaan dan kedudukan ekonomi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dalam sesebuah komuniti.

"Perpaduan bukan hanya mengenai program atau sambutan perayaan semata-mata. Jurang ekonomi dan jurang peluang pekerjaan juga boleh mewujudkan ketidakharmonian sosial dalam kalangan rakyat.

"Ia bukan hanya berlaku antara kaum, malah dalam kaum yang sama juga terdapat isu ketidakseimbangan sosioekonomi yang perlu diberi perhatian," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Perpaduan Negara memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk pengamal media bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan perpaduan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang banyak membantu kementerian dalam menyampaikan mesej perpaduan kepada rakyat.

Beliau turut memuji peranan media dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) menerusi penulisan, laporan serta karya yang membantu memberi kefahaman kepada masyarakat.

Mengulas mengenai tahap perpaduan rakyat, Yuneswaran berkata, berdasarkan pemerhatiannya di beberapa negeri, masyarakat di peringkat akar umbi sebenarnya hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu.

"Sekiranya kita turun ke bawah dan melihat sendiri keadaan masyarakat, orang ramai sebenarnya sangat bersatu.

"Kalau pergi ke kedai kopi, rakyat sangat bersatu. Cuma kadang-kadang isu politik dan berita politik yang menyebabkan persepsi tertentu timbul dalam masyarakat," katanya.

Beliau berkata, kestabilan politik juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan keharmonian sosial, selaras dengan dapatan kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNAS) yang dijalankan sebelum ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved