Christian Horner Ucap Selamat Tinggal Selepas 20 Tahun Pimpin Red Bull F1

PoliticsSports
10 Jul 2025 • 7:19 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Dalam satu ucapan perpisahan yang penuh emosi di hadapan kakitangan Red Bull Racing, Christian Horner mengesahkan bahawa beliau tidak lagi akan terlibat secara langsung dengan pasukan yang telah dipimpinnya selama lebih dua dekad.

“Semalam saya telah dimaklumkan bahawa secara rasmi, saya tidak lagi akan terlibat dengan pasukan selepas perjumpaan ini,” kata Horner dalam ucapannya yang disiarkan oleh Sky Sports.

Walaupun beliau masih kekal sebagai kakitangan syarikat, Horner menjelaskan bahawa tanggungjawab akan diserahkan sepenuhnya kepada individu lain. “Perkara ini sememangnya mengejutkan saya, namun saya mengambil masa untuk merenung kembali sumbangan dan kenangan selama 20 tahun lebih bersama Red Bull,” ujarnya dengan nada sebak.

Horner menyertai Red Bull Racing pada tahun 2005 ketika pasukan itu masih baharu dalam dunia Formula 1. Bermula dari dua bangunan usang di Milton Keynes, beliau menerajui pembinaan empayar yang menjadi salah satu pasukan paling berjaya dalam sejarah F1 moden.

Di bawah kepimpinannya, Red Bull meraih enam kejuaraan konstruktor dan lapan kejuaraan dunia pemandu, empat bersama Sebastian Vettel dan empat lagi bersama Max Verstappen.

“Menjadi sebahagian daripada perjalanan ini adalah keistimewaan terbesar dalam hidup saya,” tambahnya, sambil menerima tepukan gemuruh dari para kakitangan.

Namun prestasi pasukan yang menurun sejak 18 bulan lalu, serta kegagalan mengekalkan figura penting seperti Adrian Newey, dipercayai menjadi antara faktor utama keputusan mengejut itu.

Tempat Horner kini akan diambil alih oleh Laurent Mekies, bekas ketua pasukan Racing Bulls, yang bersedia untuk meneruskan legasi Red Bull.

“Christian meninggalkan legasi yang luar biasa,” kata Mekies. “Saya berbesar hati untuk mengambil alih dan akan berusaha untuk terus membawa kejayaan kepada pasukan ini.”

Teruskan bersama Four Wheels..!