CIDB mulakan siasatan menyeluruh insiden struktur ECRL runtuh di MRR2

LocalPolitics
20 Nov 2025 • 9:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

CIDB siasat insiden struktur sementara ECRL runtuh di MRR2, hentikan kerja pembinaan serta-merta bagi jamin keselamatan pengguna jalan raya

SHAH ALAM: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memulakan siasatan menyeluruh berhubung insiden struktur sementara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang runtuh di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata siasatan dilaksanakan mengikut Seksyen 34C Akta 520 bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran elemen pematuhan.

CIDB telah mengarahkan pemaju projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menghentikan kerja pembinaan di sekitar tapak insiden serta-merta.

“Projek itu bukan di bawah kementerian tetapi pada peringkat kami, CIDB telah menjalankan siasatan menyeluruh di bawah Seksyen 34C Akta 520,” katanya.

Beliau menegaskan kerja pembinaan dihentikan sehingga punca kejadian dikenal pasti dan aspek keselamatan ditambah baik serta terjamin.

Nanta berkata insiden melibatkan laluan awam itu memerlukan siasatan menyeluruh bagi menjamin kerisauan rakyat dan pengguna jalan raya ditangani sebaiknya.

“Sebab itu kita nak pastikan CIDB mengambil langkah yang tegas dan projek dihentikan serta-merta sehingga aspek keselamatan telah dijamin terjamin,” katanya.

Dalam insiden Selasa lepas, seorang wanita nyaris maut selepas kenderaannya dihempap runtuhan binaan projek berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kelengkapan launching nose jambatan panel keluli bermodular di Stadium Mini JKR Shah Alam.

Dalam majlis berkenaan, Nanta menyerahkan 12 set komponen launching nose bernilai RM21 juta kepada sembilan Jabatan Kerja Raya negeri.

Kelengkapan itu merupakan persediaan menghadapi bencana ketika monsun timur laut bagi memastikan tindak balas pantas sekiranya berlaku situasi terputus hubungan.

“Jambatan Bailey bukan sahaja menawarkan solusi yang cepat, efisien, dan kos efektif berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Ia juga dapat memastikan proses pemulihan dan pembinaan semula jambatan dilaksanakan dalam jangka masa lebih singkat. – Bernama