
Cikgu Siti Ainul Dinobat Sebagai Malaysia Teacher Prize 2025
Guru Pendidikan Khas, Siti Ainulmursyida dinobatkan sebagai Pemenang Malaysia Teacher Prize (MTP) 2025 pada majlis kemuncak MTP Summit 2025.
Daripada 2,300 pendidik dari seluruh negara, Cikgu Siti Ainul atau lebih dikenali sebagai Cikgu Siti Ainul tercalon dalam lima finalis sebelum diumumkan sebagai penerima anugerah tertinggi tersebut.
“Saya amat bersyukur kerana dapat mewakili pelajar-pelajar saya. Setiap anak, tanpa mengira kemampuan, berhak untuk belajar, berdikari dan mempunyai impian.
“Kemenangan ini adalah untuk mereka,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian anugerah.

Secara keseluruhan, jumlah nilai hadiah yang diterima mencecah RM120,000.
Malaysia Teacher Prize yang memasuki edisi keempat penganjurannya ini dianjurkan oleh PEMIMPIN, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang memfokuskan kepada pengukuhan kepimpinan sekolah.
Cikgu Siti Ainul merupakan tenaga pengajar pendidikan khas selain merupakan pengasas platform digital PEKA OKU.
Di bawah bimbingannya, pelbagai kejayaan dikecapi oleh para pelajar seperti telah mewakili Malaysia dalam Global IT Challenge for Youth with Disabilities dan berjaya meraih pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk pingat emas.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam ucapannya menegaskan bahawa guru merupakan tunjang pembinaan negara dan memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan generasi Malaysia masa hadapan.
“Kerjasama pelbagai pihak dalam mengiktiraf profesion perguruan menunjukkan penghargaan besar terhadap jasa dan dedikasi guru.
“Saya merakamkan tahniah kepada semua guru yang terlibat dan berharap mereka terus menjadi inspirasi dalam memperkasa pendidikan negara,” katanya.
Pengarah Eksekutif PEMIMPIN merangkap Pengasas Bersama MTP, Samuel Isaiah turut menekankan bahawa perubahan dalam sistem pendidikan bermula di bilik darjah.
“Kita bergerak bersama dengan guru-guru hebat memimpin jalan. Inovasi dan semangat mereka menjadi asas kepada pembaharuan pendidikan,” katanya
Pengiktirafan ini sekali lagi menonjolkan peranan guru sebagai pembentuk masa depan negara serta menegaskan bahawa kesungguhan dan dedikasi dalam mendidik tidak pernah sia-sia.
The post Cikgu Siti Ainul Dinobat Sebagai Malaysia Teacher Prize 2025 appeared first on Siakap Keli.





