
PETALING JAYA – Seorang guru berasa tersentuh selepas menerima sepucuk surat daripada pelajar lelaki tingkatan dua yang menegur mengenai pemakaian ketika mengajar.
Perkara itu dikongsikan guru berkenaan menerusi akaun Threads @syamiminorshah_ selepas pelajar tersebut datang secara senyap-senyap untuk menyerahkan surat kepadanya.
Menurut guru itu, pada awalnya dia menyangka pelajar tersebut mahu mengadu masalah kerana kelihatan gelisah sambil menoleh ke kiri dan kanan.
“Seorang murid lelaki tingkatan dua datang senyap-senyap bagi surat. Nampak gelisah ke kiri dan kanan. Ingatkan nak bagitahu ada masalah, rupanya datang untuk bagi teguran.
“Bagus budaknya, selalu offer (tawar diri) nak tolong cikgu, baik sangat,” katanya.
Menerusi surat tulisan tangan itu, murid berkenaan memohon maaf sekiranya mengganggu masa gurunya sebelum menegur agar wanita tersebut memakai sarung tangan ketika mengajar.
“Cikgu amalkan pakai handsock (sarung tangan) sebab waktu cikgu mengajar saya perasan yang lengan cikgu terdedah dekat pelajar lelaki sikit sahaja.
“Saya tegur kerana menutup aurat itu wajib dan saya sayang cikgu,” tulis murid tersebut.
Bercerita lanjut, wanita itu memberitahu, dalam surat tersebut murid berkenaan turut berpesan supaya tindakannya tidak diberitahu kepada sesiapa kerana berasa malu menegur gurunya secara berdepan.
“Cikgu, jangan bagitahu sesiapa tau, saya tegur pakai cara ni sebab saya malu,” tulisnya murid tersebut..
Guru tersebut berkata, teguran itu diterimanya dengan hati terbuka dan dianggap sebagai peringatan kecil daripada Allah untuk dirinya.
“Saya terima nasihat awak dengan hati yang terbuka dan saya anggap ini juga teguran kecil dari Allah untuk hamba-Nya.
“Kadang kita anggap ringan dan kita malas, kadang pakai, kadang tak pakai, tapi Allah masih sayang dan nak jaga kita,” katanya.
Dalam hantaran sama, guru itu turut mendoakan agar anak murid berkenaan membesar menjadi lelaki yang baik dan soleh.
Pada masa sama, guru tersebut menjelaskan bahawa perkongsian surat berkenaan dibuat selepas mendapat keizinan murid terbabit dan bukan untuk memalukan atau mendedahkan identitinya.
Menurutnya, murid tersebut tidak kisah surat itu dikongsikan dan malah gembira apabila mengetahui ramai mendoakan kebaikan buatnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Cikgu terima nasihat awak dengan hati terbuka’ appeared first on Kosmo Online.






