'Cikgu jangan nangis, saya okay' – Pelajar dipinggirkan rakan, guru menangis

LocalFamily & Parenting
10 Sep 2026 • 8:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Cikgu jangan nangis, saya okay' – Pelajar dipinggirkan rakan, guru menangis
Guru tersebut berkongsi rasa pilu di media sosial.

PUTRAJAYA – “Cikgu jangan nangis. Saya okay.”

Demikian kata seorang pelajar kepada gurunya walaupun ketika itu dia sendiri sedang menangis selepas menyaksikan gurunya sebak apabila melihat dirinya dipinggirkan rakan sekelas.

Kisah itu dikongsikan seorang guru menerusi media sosial selepas beliau berdepan situasi seorang pelajar Tingkatan 3 yang tidak dipilih mana-mana rakan untuk menyertai kumpulan ketika diberikan tugasan dalam kelas.

Menurut guru berkenaan, beliau terpaksa memanggil beberapa pelajar lain dan memujuk mereka supaya menerima murid terbabit dalam kumpulan, namun usaha itu masih disambut dengan tindakan saling menolak.

Lebih menyedihkan, katanya, selepas nama murid berkenaan dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan, ada pelajar lain yang menyatakan tidak mahu berada dalam kumpulan sama dengan alasan rakan itu “tidak reti buat kerja”.

"Pagi ini aku menangis dalam kelas dengan rasa yang sangat teruk. Bukan menangis dengan hati sebagai guru, tetapi sebagai ibu.

“Pelajar ini sebenarnya boleh sahaja buat jika kita bimbing, tetapi memang tiada kawan,” katanya.

Situasi itu menyebabkan guru terbabit tidak mampu menahan sebak kerana tidak sanggup melihat pelajar berkenaan berdepan penolakan secara terbuka di hadapan rakan-rakannya.

“Saya sampai tak sanggup pandang muka pelajar ini kerana dia nampak situasi ini. Saya menangis,” katanya.

Guru itu kemudian mengambil kesempatan daripada kejadian berkenaan untuk menasihati pelajar lain supaya tidak memandang rendah atau menolak rakan hanya kerana mereka mempunyai kelemahan tertentu.

Menurutnya, seseorang mungkin berasa bangga apabila ramai rakan mahu berkawan dengannya, namun keadaan itu tidak sepatutnya menyebabkan orang lain dipinggirkan.

“Kalian lihat, dia menangis kerana selama ini dia pendam. Dia rasa, tetapi dia tidak tunjuk,” katanya.

Tegas guru berkenaan, manusia perlu mempunyai empati kerana tindakan mengabaikan atau menyisihkan seseorang boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap perasaan individu terbabit.

Apa yang lebih menyentuh hati guru berkenaan ialah tindakan pelajar itu selepas melihatnya menangis. Sebelum guru tersebut meneruskan nasihat kepada pelajar lain, beliau meminta pelajar berkenaan keluar berehat terlebih dahulu namun, pelajar itu menghampirinya, menepuk bahunya dan merendahkan badan sehingga berada pada aras mata guru tersebut sebelum berkata: “Cikgu jangan nangis. Saya okay.”

Menurut guru berkenaan, kata-kata itu amat meruntun hatinya kerana pelajar tersebut ketika itu sendiri sedang menangis.

“Sedangkan ketika itu dia sendiri menangis, berhingus dan air liurnya meleleh. Terbayang jika anak saya diperlakukan begitu,” katanya.

Guru berkenaan kemudian meminta pelajar lain memohon maaf kepada rakan mereka yang dipinggirkan itu.

Katanya, kebanyakan pelajar terbabit menangis sebelum memohon maaf dan beliau berharap kejadian tersebut menjadi pengajaran kepada mereka untuk lebih menghargai perasaan orang lain.

“Saya harap anak-anak ini dapat pengajaran hari ini dan jadi orang yang lebih baik selepas ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved